Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau kini hanya mahu menumpu perhatian kepada aktiviti berkebun dan tidak mahu mengulas tentang hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Abdul Hamid dipetik China Press sebagai berkata, beliau tiada masa terluang untuk memberi perhatian kepada hasil siasatan itu.

Beliau juga percaya aktiviti bercucuk tanam dan menternak ikan yang dilakukannya boleh membantu sedikit dalam meringankan beban rakyat.

Abdul Hamid juga bersyukur kerana mempunyai kesihatan dan boleh terus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

EAIC sebelum ini berpendapat Abdul Hamid hilang hak untuk memberi sebarang komen berhubung isu ‘kartel’ dalam pasukan polis kerana tidak pernah membangkitkan isu itu semasa menjadi Ketua Polis Negara, walaupun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Beliau juga dilaporkan tidak menamakan mana-mana pegawai, tetapi mendedahkan isu itu kepada media apabila kontraknya dengan Polis Diraja Malaysia bakal tamat.

Abdul Hamid sebelum ini pernah menyatakan bahawa siasatan EAIC mengenai ‘kartel’ sebagai cetek dan tidak betul. – MalaysiaGazette