Shamsul Anuar Nasarah

JOHOR BAHRU – Pas seolah-olah mahu kembali ke fitrah asalnya apabila melebalkan orang lain dengan pelbagai gelaran jika tidak mengikut atau menyokongnya.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, mendakwa rakyat Johor tidak menyokong Pas kerana tidak faham agama adalah salah dan keterlaluan. Ini kerana rakyat Johor yang mempunyai asas agama Islan yang baik dan ada kebijaksanaan menilai.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa kurang kesedaran politik Islam di Johor menjadi punca parti itu gagal menawan hati pengundi di negeri ini.

Membidas kenyataan Abdul Hadi itu, Shamsul Anuar berkata, sistem pendidikan agama Islam di Johor adalah yang terbaik malah Malah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) merupakan suatu sistem sekolah pendidikan Islam yang ditadbir terus oleh Kerajaan Johor melalui Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Melaluinya, Johor mampu membentuk pelajar dengan keperibadian mulia, berfikiran positif, berdaya kreatif, produktif serta sentiasa berdaya tahan dan berdaya maju.

Oleh kerana itu, sistem pendidikan ini boleh dikatakan sebagai sistem pendidikan Islam terbaik termasuk di Asia Tenggara.

Shamsul Anuar menambah, kalau dikaji sejarah pendidikan Islam di Johor bukan sesuatu yang baharu kerana ianya telah lama dilaksanakan.

Kerajaan Negeri Johor terbabit secara langsung dalam sistem pendidikan agama sejak 1895 lagi apabila Sultan Abu Bakar mewujudkan perlembagaan bertulis bagi negeri ini.

”Sejak daripada tarikh itu, Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar terus menunjukkan keprihatinan yang mendalam berhubung pendidikan agama.

”Hasil keprihatinan ini, masyarakat Islam negeri Johor meraih manfaat yang besar sehinggalah amalan menghantar anak untuk mengikuti pengajian agama sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Johor,” jelas beliau.

Disebabkan itu, dalam Ikhtiar BN Johor, BN meletakkan Islam sebagai tunggak utama kemakmuran Johor.

Pada masa sama keharmonian dan semangat toleransi antara kaum yang telah sebati dalam sanubari Bangsa Johor sentiasa dikukuhkan.

”BN Johor kekal komited menegakkan syiar Islam dan kemajmukan Johor. Malah BN Johor mahu menaiktaraf Kolej Pengajian Islam Johor ( MARSAH ) ke status Kolej Universiti. Institut Tahfiz swasta di Johor melalui Johor Tahfiz Qualiti Annurance (JTQA ) akan diperkasakan.

”Ini bukti keutamaan BN Johor dalam memperkukuhkan pendidikan Islam kepada Bangsa Johor. Kepada pimpinan Pas, Islam ini milik semua,” katanya. – MalaysiaGazette