Petugas hospital membawa mayat selepas dipercayai jangkitan wabak Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur. Foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Sebanyak 113 kes kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut di negara ini meningkat kepada 33,497 kes.

Menurut portal COVIDNOW, daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes adalah kematian diluar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Selangor merupakan negeri yang mencatatkan angka kematian tertinggi dengan 22 kes diikuti Sabah (18), Johor (14), Kedah (12), Pulau Pinang (10), Pahang (sembilan).

Manakala di Perak pula sebanyak tujuh kes kematian dicatatkan, Negeri Sembilan (enam), Terengganu (empat), Kelantan (tiga) serta Melaka, Perlis, Sarawak dan Kuala Lumpur (masing-masing dua).

Tiada kes kematian dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

Sehingga tengah malam tadi, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 310,160 kes aktif Covid-19 di seluruh negara dengan 297,924 individu atau 96.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Sementara itu, mereka yang ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) adalah seramai 3,278 orang

Sebanyak 8,570 kes dirawat di hospital dan 388 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 163 pesakit memerlukan bantuan pernafasan manakala 225 lagi memerlukan mesin ventilator. – MalaysiaGazette