Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin bergambar bersama calon Barisan Nasional (BN) N.07 Bukit Kepong, Ismail Mohamad (kiri) ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di FELCRA Bukit Kepong, Labis, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2022.

TANGKAK – Calon Barisan Nasional (BN) Bukit Kepong, Ismail Mohamed merasakan pengundi bukan Melayu sudah mula beralih kepada gabungan itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Beliau berkata perkara itu dapat diterjemahkan selepas hampir dua minggu mengadakan siri kempen di sekitar Bukit Kepong, bermula dengan proses penamaan calon pada 26 Februari lalu.

“Saya dapat rasakan sokongan positif orang Melayu tapi orang Cina amat mengejutkan. Kerana apabila saya turun ke kedai-kedai mereka mengharapkan BN dapat berkuasa kembali.

“Rata-rata pengundi Cina memaklumkan mereka lebih yakin di bawah pemerintahan BN terutamanya membabitkan kawalan harga barang dan mereka lebih muda berniaga sewaktu dipimpin BN.

“Masyarakat India pun begitu juga kerana mereka rasa bawah Pakatan Harapan (PH) mereka kurang dapat bantuan bawah BN lebih dapat tumpuan, Orang Asli pun begitu juga bila saya pergi ke lima perkampungan Orang Asli mereka dapat membezakan zaman BN dan zaman PH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas mengiringi Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin yang turun padang ke Felcra Bukit Kepong, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) N.07 Bukit Kepong, Ismail Mohamad bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di FELCRA Bukit Kepong, Labis, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2022.
Calon Barisan Nasional (BN) N.07 Bukit Kepong, Ismail Mohamad bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di FELCRA Bukit Kepong, Labis, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2022.

Rata-rata pengundi bukan Melayu yang ditemui Ismail berkata masyarakat Cina, India dan Orang Asli lebih menghargai kerajaan BN berbanding kerajaan sementara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Di bawah BN mereka lebih dihargai dengan bantuan-bantuan manakala di bawah PH mereka ketinggalan daripada arus pembangunan .

“Saya akan habiskan semua tempat, mereka lebih seronok kalau saya turun,” ujar Ismail.

Dalam pada itu, Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata beliau seolah-olah bertanding dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana wajah Muhyiddin dilihat memenuhi segenap kawasan Bukit Kepong berbanding lawannya, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

“Calon yang bertanding di Bukit Kepong ialah Dr Saharuddin dan dua lagi, Tan Sri Muhyiddin bukan calon.

“Tapi saya rasa seolah-olah saya bertanding dengan Tan Sri Muhyiddin. Gambar dia lebih banyak daripada calon yang bertanding,” jelas Ismail lagi.

DUN Bukit Kepong menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Ismail, Datuk Dr Sahruddin Jamal (PN); Nurafiqah M Zulkifli (Muda) dan Md Taib Md Suhut (Parti Pejuang Tanahair). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Politikus Pak Pandir kemaruk undi baka pekerja asing timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris sebagai the kingmaker penentu kemenangan callonnya.

Comments are closed.