covid-19
Sebanyak lapan kematian dilaporkan KKM semalam. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 113 kematian telah dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, menjadikan 33,497 jumlah kumulatif kematian sepanjang wabak Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu.

Sementara itu, KKM juga turut melaporkan sebanyal 30,246 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh sama semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sejak 1 Mac lalu, proses pengumuman laporan kematian yang disebabkan oleh Covid-19 telah ditambah baik.

Dr. Noor Hisham Abdullah

Di mana katanya, kematian perlu dilaporkan dalam tempoh 72 jam dengan sasaran yang ditetapkan adalah 80 peratus daripada jumlah kes kematian.

“Ini akan mengurangkan pelaporan lewat kes kematian atau ‘backlog’,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata beliau, secara purata, dari 1 hingga 8 Mac lalu, sebanyak 77 peratus daripada laporan kematian adalah menepati tempoh itu.

Ini menunjukkan pematuhan kepada pelaporan kematian dari lapangan didapati kian bertambah baik daripada sebelum ini.

“Bagaimanapun, daripada 113 kematian yang diumumkan semalam, didapati hanya 65 kematian yang dilaporkan adalah menepati masa pelaporan dalam tempoh 72 jam.

“Manakala selebihnya iaitu 48 kematian telah dilaporkan melebihi 72 jam,” katanya.

Kata beliau, semakan KKM dengan semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mendapati kelewatan pelaporan kematian disebabkan oleh faktor teknikal.

“Sebagai contoh, kes kematian yang berlaku di hospital daerah yang terletak di kawasan pedalaman termasuk kes Brought in Dead (BID) yang memerlukan siasatan lanjut dan laporan daripada pakar perlu dikendalikan oleh hospital besar yang berdekatan.

“Namun, faktor kelewatan ini telah diteliti dan langkah penambahbaikan telah diambil bagi memastikan ketepatan masa atau ‘timeliness’ pelaporan kematian Covid-19 di Malaysia dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.

Mengenai kes baharu, Dr. Noor Hisham berkata, daripada 30,246 kes baharu semalam, 418 adalah kes import yang melibatkan 388 warganegara dan 30 bukan warganegara.

Bagi kes sembuh pula sebanyak 26,653 kes iaitu 3,367,542 kes kumulatif, diikuti kes tempatan 29,828 kes iaitu 29,029 warganegara dan 799 bukan warganegara.

Manakala kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 388 kes dan kes memerlukan bantuan pernafasan 225 kes. – MalaysiaGazette