Petugas Kesihatan mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 08 OGOS 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 70 kematian baharu Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga tengah malam tadi.

Menerusi portal COVIDNOW, angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat wabak berkenaan di negara ini mencecah 33,597 orang.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Perak mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 20 kes diikuti Selangor (11); Johor (10); Kelantan (sembilan); Kedah (tujuh); Negeri Sembilan dan Sabah (masing-masing empat); Pahang (tiga) serta masing-masing satu di Perlis dan Terengganu.

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sementara itu, sebanyak 314,420 kes aktif Covid-19 direkodkan KKM di seluruh negara dengan 302,242 orang atau 96.1 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.

Manakala mereka yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) adalah 3,039 orang.

KKM juga memaklumkan 389 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 229 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette