Pengundi membuang undi di pusat mengundi DUN Maharani pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di SMK Seri Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.
Pengundi membuang undi di pusat mengundi DUN Maharani pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di SMK Seri Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

MUAR – Rata-rata pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir lebih suka keluar mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memudahkan pergerakan mereka.

Mohd Rizal Mohd Aroff
Mohd Rizal Mohd Aroff

Bagi Mohd Rizal Mohd Aroff, 45, faktor kedudukan rumahnya yang hampir dengan pusat mengundi mendorong beliau untuk keluar awal menunaikan tanggungjawab di Sekolah Kebangsaan Temiang, hari ini.

“Saya keluar jam 7.45 pagi sebab rumah dekat dengan pusat mengundi. Saya keluar pagi berkobar-kobar nak tunaikan tanggungjawab,” katanya kepada MalaysiaGazette..

Mohd Sufian Keman
Mohd Sufian Keman

Menurut Mohd Sufian Keman, 34, beliau terpanggil untuk pulang ke Muar bagi memastikan kuasa mengundi yang diberikan kepadanya digunakan sepenuhnya.

Ujarnya sebagai bangsa Johor, ia adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan bagi memilih kerajaan yang akan membangunkan negeri Johor dalam tempoh 5 tahun akan datang.

“Saya undi dah kali ketiga, perasaan itu memang seronok sebab saya pengundi yang bekerja di KL, tapi bila ada undi di Johor saya memang kena balik kampung. Saya habis kerja terus balik kampung bangun pagi dan siap-siap jam 7 pagi semangat nak keluar mengundi,” katanya.

Mohd Johar Akhbar
Mohd Johar Akhbar

Mohd Johar Akhbar, 67, yang sudah sembilan kali mengundi berkata suasana hari ini amat berbeza dengan suasana beliau mula-mula memangkah undi dahulu.

Ia membolehkan beliau keluar awal untuk memangkah undi pada PRN kali ini.

“Saya mengundi sejak 21 tahun sudah lama mengundi. Hari ini nampak aman, selesa tak macam dulu. Saya nak yang menang buat perubahan dan fikirkan masa depan,” katanya.

Fahrulizan Sharifuddin
Fahrulizan Sharifuddin

Dalam pada itu, Fahrulizan Sharifuddin, 48, percaya calon yang diundi beliau hari ini adalah calon boleh menang dan menolak kemungkinan mereka akan bertindak melompat parti sekiranya apa-apa berlaku selepas PRN.

“Saya rasa sekarang ini calon sudah matang rasanya isu lompat itu tidak akan berlaku. Jangan khianati mandat yang telah diberikan,” jelas beliau lagi.

Nada sama turut dizahirkan Abdul Salim Ramin, 68, yang mengundi di saluran satu Sekolah Kebangsaan Jorak, hari ini.

Beliau yang mengundi kali kelapan berkata sekiranya perkara itu berlaku, beliau akan menolak calon itu pada pilihan raya akan datang.

“Kita tak setuju dan kita akan tolak dia masa PRU15 nanti, dia tidak ada pendirian dalam perjuangan untuk bangsa dan agama,” katanya lagi.

Hari ini, seramai 2,539,606 pengundi akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15, hari ini. – MalaysiaGazette