V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju diarahkan untuk keluar daripada persidangan Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Ia gara-gara beliau sering mencelah dan gagal mendapat izin untuk mencelah ketika Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Situasi itu berlaku apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun bagi mendapatkan jawapan daripada Halimah mengenai isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

“Menteri Undang-undang akan jawab tentang siasatan ke atas Mitra. Bukan saya dan saya tidak boleh beri maklumat yang YB nak berapa peruntukan dan berapa yang telah dibelanjakan bagi 2020 hingga 2022.

“Ini kerana perkara itu telah dimasukkan dalam siasatan oleh SPRM.

“Kalau nak tanya lebih terperinci tentang siasatan SPRM, saya nasihatkan tanyakan kepada Menteri Undang-undang,” kata Halimah.

Sivakumar yang tidak puas hati dengan jawapan itu ingin mencelah namun tidak dapat didengar apa yang diperkatakan oleh beliau.

Ekoran itu, Azhar Azizan cuba untuk meleraikan pertikaman lidah antara Haliman dan Sivakumar.

“Cukuplah, menteri sudah jawab, teruskan,” tegas Azhar Azizan.

Ia turut mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran.

“YB perkara ini tidak perlu diselindung lagi, jawab kami,” desak Kulasegaran.

Menjawab perkara itu, Halimah berkata, akan ada taklimat kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Mac depan.

“Taklimat akan dibuat pada 22 Mac depan dengan Ketua Pembangkang, apa-apa persoalan boleh bangkit ketika taklimat itu, jawab Halimah

Justeru itu, Azhar Azizan menegaskan perkara tersebut kini di tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan.

“Biarlah SPRM yang siasat,” kata Azhar Azizan.

Tidak puas hati dengan penjelasan itu, Sivakumar bingkas bangun mendesak agar Halimah terus memberikan jawapan.

“Kami mahu tahu tentang perbelanjaan. Kami minta dokumen pun tak dapat,” kata Sivakumar.

Berang dengan celahan itu, Azhar Azizan mengarahkan Sivakumar untuk duduk namun tidak diendahkan.

“YB Batu Gajah tolong duduk sekejap (sambil mengetuk mortar). Kamu nak keluar makan angin 10 minit. Duduk!.

“Batu Gajah tolong keluar daripada dewan sekarang untuk tempoh 10 minit, Bentara tolong. Duduk, keluar sekarang,” teriak Azhar Azizan.

“Boleh tanya tapi peraturan mesyuarat cakap apa? Peraturan cakap apa? Kalau peraturan cakap laluan tak diberikan macam mana?, kata Azhar.

Sebelum ini, Halimah berkata, siasatan SPRM bukan hanya melihat isu berkaitan jenayah, malah ia turut melibatkan proses bagaimana kelulusan geran peruntukan Mitra itu diberikan.

Beliau berkata, SPRM juga akan mengemukakan cadangan untuk memantapkan proses supaya tidak berlaku ketirisan dalam membelanjakan peruntukan RM100 juta oleh Kementerian Kewangan kepada masyarakat India. – MalaysiaGazette