Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa jumlah hutang Kerajaan Persekutuan hingga akhir Disember tahun lalu adalah sebanyak RM979.8 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, paras hutang itu adalah 63.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Manakala nisbah hutang statutori Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen MGs, MGII dan MITB mencatatkan 5.79 peratus daripada KDNK.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai data-data terkini pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal, hutang Kerajaan serta kaedah mengurangkan defisit dan hutang serta untuk menambah peluang pekerjaan juga pendapatan rakyat dalam sesi soalan lisan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Shahar berkata, jumah kadar hutang itu masih di bawah paras 65 peratus daripada jumlah KDNK negara.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, kadar hutang negara berada paras RM957.3 bilion sehingga akhir Julai tahun lalu.

Nisbah hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB), semuanya mencatat 63.4 peratus daripada KDNK, iaitu masih di bawah had statutori 65 peratus KDNK yang ditetapkan dalam Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019-Covid-19) 2020.

Pada masa ini, katanya, kerajaan mengguna pakai Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) sebagai panduan dalam menggubal strategi ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana (3 hingga 5 tahun) yang selari dengan pelan pembangunan RMKe-12.

Di samping itu, penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dijangka dapat mengukuhkan tadbir urus, ketelusan, pengurusan kewangan awam dan disiplin fiskal.

Mohd Shahar menambah, kerajaan juga sedang membangunkan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan melaksanakan Semakan Semula Perbelanjaan Awam (PER) bagi
menambah baik asas hasil dan memastikan kecekapan perbelanjaan kerajaan.

Pelaksanaan langkah-langkah tersebut dijangka mampu mengukuhkan kembali kedudukan kewangan demi memastikan kemampanan fiskal dan kemampuan keberhutangan kerajaan dalam jangka masa sederhana dan panjang. – MalaysiaGazette