Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Kamarudin Md Din bercakap pada sidang media mengenai penubuhan 'CCID Scam Response Center' di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menerusi scam response centre atau pusat tindak balas penipuan akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras sindiket penipuan atas talian yang semakin berleluasa.

Menurut Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, kerjasama tiga agensi berkenaan sudah pun dilaksanakan dan dijangka dapat digunakan orang ramai selewat-lewatnya pada bulan Jun.

Katanya, sejak hari pertama pusat itu beroperasi, ia sudah pun menerima lebih kurang 2,399 panggilan perihal penipuan atas talian tersebut.

“Daripada jumlah 2,399 panggilan itu, 1,530 panggilan (63.4%) bertanyakan tentang modus operandi jenayah Macau Scam, Love Scam, belian online, pinjaman tak wujud, penipuan pelaburan dan ah long.

“Mengikut kajian yang dilakukan lagi, 1,430 pemanggil (59.6%) sudah pun menjadi mangsa jenayah komersil”

“Manakala baki selebihnya, 969 pemanggil (40.4%) berjaya mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan secara atas talian” katanya pada sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur hari ini.

Fungsi utama scam response team tersebut untuk membolehkan masyarakat mendapatkan khidmat nasihat dan membuat pengesahan berkenaan kesahihan panggilan yang diterima ataupun hanyalah sebuah scam.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, pegawai yang ditugaskan untuk menerima panggilan juga akan memberikan tindakan yang perlu diambil sekiranya sudah menjadi mangsa penipuan atas talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Kamarudin Md Din menunjukkan nombor talian ‘CCID Scam Response Center’ yang boleh dihubungi secara langsung bagi memudahkan masyarakat berkomunikasi secara langsung dengan pihak JSJK pada sidang media di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2022.

Tambahnya Kamarudin lagi, jika sesiapa menerima panggilan yang berunsur penipuan atau sindiket scam, mereka boleh membuat panggilan ke scam response team menggunakan nombor 03-2610 1599/1559 yang beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 10 malam.

“Pegawai kami dah dilatih dan bersedia untuk membantu dan jika mengalami trauma kerana diugut, kami akan menghantar pegawai ke rumah untuk membuat bantuan susulan.

“Seandainya masyarakat menerima panggilan di lewat malam, ianya tidak logik kerana tiada satu pun badan kerajaan yang beroperasi hingga waktu malam”

“Sekarang ni pegawai bank pun ada yang dah ditipu scammer dan jumlah kerugian direkodkan dalam lingkungan RM600,000 hingga RM800,000” katanya lagi. –MalaysiaGazette