Kira-kira 150 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mengadakan piket terhadap bank HSBC Bank Malaysia (HSBC) di Lebuh Downing, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) membantah dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjalani kerjasama dengan HSBC menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Oktober tahun lalu.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, Kerajaan Negeri menerusi anak syarikatnya InvestPenang masih mahu meneruskan MoU tersebut meskipun menyedari tentang latar belakang imej dan reputasi negatif bank berkenaan di peringkat global.

Solomon.

“Kita hantar surat kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Disember lalu berhubung bantahan menjalani kerjasama dengan bank tersebut namun mereka dilihat lebih mementingkan soal pelaburan berbanding kebajikan yanh diketengahkan oleh pihak NUBE.

“Dalam surat maklum balas yang kami terima daripada Timbalan Ketua Menteri pada awal Januari lalu mereka menegaskan mahu meneruskan kerjasama dengan HSBC dan meminta kami untuk membawa isu serta desakan kami ke mahkamah.

“Kami bukan nak jatuhkan kerajaan negeri ini tapi dasar yang dilaungkan mereka untuk menjaga kebajikan rakyat tidak ditonjolkan ketika rakyat berdepan kesukaran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 150 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) mengadakan piket terhadap bank HSBC Bank Malaysia (HSBC) di Lebuh Downing di sini.

Piket berkenaan adalah yang kedua dilakukan selepas di Johor Bharu pada 10 Mac lalu.

Piket tersebut berlangsung selama satu jam.

Rata-rata mereka membawa sepanduk yang bertulis ‘HSBC manipulasi pelanggan dan pekerja’, ‘HSBC melayani pekerja seperti penjenayah’ dan ‘Hentikan gangguan ke atas pekerja.’

Solomon berkata, piket itu dianjurkan sebagai tanda protes terhadap tindakan tidak profesional bank berkenaan yang membabitkan 300 pertikaian industri sejak 2019.

“Kita juga membantah tindakan tidak adil dan diskriminasi HSBC terhadap kakitangan khususnya membabitkan B40 dan M40.

“NUBE terpaksa mengambil tindakan ini selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSBC Bank Malaysia dan CEO semasa tidak mahu mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap bagi menangani proses Penyelesaian Pertikaian selaras dengan peruntukan Perjanjian Kolektif (CA).

“Pihak bank berkenaan dengan sengaja mengelak daripada berunding bagi mencari penyelesaian ke atas aduan dan pertikaian industri yang dibangkitkan.

Tambah beliau, NUBE akan terus mengadakan piket di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia bagi membawa kesedaran kepada orang awam sehingga penyelesaian dicapai. – MalaysiaGazette