Foto Instagram Eyka Farhana.

KUALA LUMPUR – Aksi cemerlang yang dipamerkan pemain sayap negara, Akhyar Rashid pada perlawanan menentang Filipina semalam mendapat pujian dari pelakon cantik, Eyka Farhana.

Eyka yang dikaitkan menjalin cinta dengan Akhyar mengucapkan tahniah di atas kemenangan skuad Harimau Malaya yang berjaya menewaskan Filipina dengan 2-0 pada aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura.

Kemenangan skuad kebangsaan ke atas pasukan ranking ke-129 dunia itu adalah hasilĀ  dua jaringan Akhyar pada babak pertama, sekali gus membanggakan Eyka.

“Tahniah. Sangat bangga dengan awak,” tulis Eyka di laman story Instagramnya berserta emoji ‘love’ yang mungkin menandakan yang sememangnya mereka berdua sedang dilamun cinta.

Sebelum ini, hubungan Eyka dan Akhyar mula dihidu apabila menerima kejutan sambutan hari lahir ke-25 dua tahun lalu.

Namun Eyka enggan terlalu terbuka berbicara soal cinta namun mengakui menyenangi karakter Akhyar yang disifatkan kelakar, baik hati dan mementingkan keluarga.

Skuad negara akan menentang Singapura dalam aksi terakhir pada Sabtu ini sebelum mengakhiri saingan Siri Tiga Negara di venue yang sama.

Pasukan negara akan terus kekal berada di Kota Singa sehingga Isnin depan selepas Pan-gon menambah satu lagi perlawanan tertutup membabitkan pertemuan dengan kelab Liga Singapura, Albirex Niigata di Stadium Jalan Besar bagi memberi peluang buatnya menilai prestasi kesemua 25 pemain.

Tiga aksi itu sebenarnya sebagai persiapan menghadapi ujian sebenar pada Jun ini, yang mana Malaysia akan mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette