Kredit: Facebook JBPM Pahang

KUANTAN – Seorang lelaki ditemukan lemas manakala rakannya masih hilang semasa mandi di kawasan air terjun Lata Hammer di Bentong, hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Hairul Zaman Abdul Jalil, 22, dari Kampung Changkat di Gombak, Kuala Lumpur ditemukan pada pukul 8.16 malam tadi.

Sementara mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Haneef Abdul Hafidz, 22, dari Taman Selaseh Jaya, Batu Caves, Selangor.

“Bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 3.35 petang mengenai sekumpulan lelaki mandi dengan dua daripada mereka dilaporkan lemas.

“Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa akan bersambung esok ekoran cuaca sudah gelap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Operasi turut disertai polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.- BERNAMA