Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali

MELAKA – Penemuan ribuan bangkai ikan yang terdampar di sepanjang 1.3 kilometer di pantai peranginan, Pengkalan Balak semalam dipercayai berpunca daripada tindakan nelayan yang membuangnya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, itu kesimpulan dibuat selepas kajian dibuat pegawai penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung tidak menemukan bukti pencemaran pada sampel bangkai ikan itu yang dikenali tamban pias oleh penduduk setempat

“Berdasarkan saiz ikan yang sekata iaitu lima inci dan tiada jenis ikan lain ditemui menunjukkan tiada kemungkinan pencemaran berlaku.

“Sebaliknya, ia mungkin dibuang oleh nelayan kerana ikan jenis tamban pias itu berbau hanyir, rasa yang tawar dan mempunyai tulang yang terlalu banyak menyebabkan ia tiada nilai komersial.

“Orang pun tak nak beli sebab itu hanya satu jenis ikan sahaja ditemui sepanjang 1.3 kilometer pantai bermula dari Kompleks Perahu Layar sehingga ke muara Sungai Tuang,” katanya pada sidang media di Seri Negeri di sini hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan kononnya berlaku tumpahan minyak atau pencemaran belerang yang menyebabkan ikan berkenaan mati, Sulaiman berkata, pemeriksaan tidak menjumpai tanda-tanda pencemaran seperti didakwa sepanjang pantai malah keadaan air juga normal.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan penduduk dan pengunjung pantai di peranginan tumpuan pelancong itu gempar susulan penemuan ribuan bangkai ikan yang terdampar di sepanjang kira-kira tiga kilometer pesisiran pantai bermula di Telok Gong dan Sungai Tuang .

Tinjauan sekitar pukul 6 petang mendapati ribuan ikan jenis tamban dan selangat memenuhi pesisiran pantai, sekali gus menimbulkan bau busuk di kawasan berkenaan.

Komuniti nelayan juga mengakui kejadian pelik itu yang hanya membunuh ikan tamban dan selangat yang didakwa berpunca daripada pencemaran belerang dan ia adalah kali pertama berlaku di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk gempar ribuan ikan terdampar pesisir pantai Melaka