Loji kuasa Edra di Melaka.

KUALA LUMPUR – GE dan Edra Energy Sdn Bhd (Edra), penjana kuasa bebas kedua terbesar Malaysia hari ini memulakan operasi komersial loji kuasa Edra di Alor Gajah, Melaka.

Ia merupakan loji kuasa kitaran gabungan terbesar di dalam negara yang dikuasakan oleh teknologi GE, menambah lebih daripada 2.2 gigawatt (GW) ke dalam grid nasional – bersamaan dengan anggaran jumlah yang diperlukan untuk menguasakan sehingga 10% daripada permintaan semasa negara.

GE membekalkan Edra dengan sebuah penyelesaian holistik, termasuk alat loji kuasa teras dan perjanjian perkhidmatan untuk mengurus semua aspek kitaran hayat projek.

Jumlah penggunaan tenaga di Malaysia sentiasa meningkat dengan Energy Watch mengunjurkan permintaan elektrik meningkat dari kira-kira 18.8 GW pada 2020 kepada lebih daripada 24 GW menjelang 2039.

Tambahan lagi, objektif peralihan tenaga negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk rancangan untuk menghentikan janaan kuasa menggunakan arang secara berperingkat, dengan jangkaan 7 GW kuasa arang akan ditamatkan menjelang 2033, membawa kepada peningkatan ketara dalam sumber tenaga lain termasuk gas, menurut laporan oleh IHS Markit Research.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif untuk GE Gas Power Asia, Ramesh Singaram berkata, GE amat berbesar hati untuk menyokong Edra dalam pembekalan elektrik yang setara dengan keperluan untuk beberapa juta isi rumah Malaysia.

”Teknologi kami terbukti secara global, dan ia telah mencapai tahap rekod kecekapan untuk memenuhi permintaan terhadap tenaga elektrik yang semakin meningkat dengan lebih baik dan matlamat penjanaan kuasa dan kemampanan kerajaan Malaysia yang tinggi.

”Teknologi H-Class kami, ditambah dengan penyelesaian digital dan kepakaran perkhidmatan, akan membantu menjadikan loji uasa baharu Edra sebagai salah satu loji kuasa yang paling cekap dan mampan di rantau ini.

”Tambahan lagi, projek ini mempunyai kesan limpahan yang besar kepada ekonomi tempatan, melalui penjanaan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan, terutamanya kepada komuniti tempatan,” katanya.

Loji baharu tersebut terdiri daripada tiga blok penjanaan yang mampu menjana lebih daripada 745 MW dari setiap blok, setiap daripadanya merangkumi sebuah turbin gas 9HA.02 GE, turbin wap STF-D650, penjana W88 dan Penjana Wap Pemulihan Haba (HRSG).

Sistem kawalan bersepadu Mark VIe GE akan menyediakan kawalan penjana turbin gas dan keterlihatan prestasi serta kit pengurusan prestasi aset GE (APM) bagi penyelesaian digital oleh GE Digital akan membantu untuk menjadikan operasi loji kuasa Melaka lebih selamat, senang diramal dan dipercayai sambil memastikan prestasi yang lebih baik pada kos
mampan yang lebih rendah.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian perkhidmatan bertahun itu, alat janaan kuasa di Alor Gajah merupakan sebahagian daripada armada yang dipantau oleh Pusat Pemantauan & Diagnostik (M&D) GE di Kuala Lumpur.

GE merupakan pemain utama dalam penjanaan kuasa di Malaysia sejak tahun 1975. Turbin gas GE (kitaran biasa dan gabungan) mempunyai kapasiti untuk menjana lebih daripada 7 GW elektrik dengan pangkalan terpasang yang mewakili lebih daripada 65% daripada jumlah kapasiti terpasang di negara ini.

Projek ini terus mengukuhkan hubungan yang terjalin lama antara GE dan Edra, yang dibina sejak lima tahun yang lalu. – MalaysiaGazette