Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil bercakap pada media selepas menghantar borang pencalonan jawatan pada Pemilihan Keadilan 2022 di Pejabat PKR, Petaling Jaya.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Teka teki mengenai status permohonan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil akhirnya terjawab hari ini apabila beliau hadir di ibu pejabat PKR.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR itu mengemukakan percalonan sebagai Naib Presiden.

“Satu saat gementar buat saya, selalu saya iring pimpinan lain tapi kali ini saya diiring. Harapan pertandingan sihat, meraikan demokrasi, ini perluang terbaik untuk parti bila pemilihan kali ini,” katanya kepada media selepas selesai mengemukakan pencalonannya hari ini.

Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil selepas menghantar borang pencalonan jawatan pada Pemilihan Keadilan 2022 di Pejabat PKR, Petaling Jaya.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 APRIL 2022.

Ditanya mengenai visi dan misi beliau sekiranya dipilih sebagai Naib Presiden, Fahmi berkata, beliau akan berusaha untuk mengukuhkan parti sempena Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Sekiranya dipilih sebagai Naib Presiden, semestinya saya akan usahakan gerakan kukuhkan struktur parti. Pastikan segala yang berlaku selepas Langkah Sheraton bukan sahaja dibersihkan tapi bina lebih baik.

“Saya mahu bina nafas baru, anggota baru dan pimpinan baru, mungkin usia muda tapi masih dipimpin Anwar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Pimpinan PKR Negeri Perak, Farhash Wafa Salvador turut mengemukakan pencalonan bagi jawatan sama.

Beliau yang sebelum ini mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagaimanapun memutuskan untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farhash Wafa Salvador hadir ke pejabat PKR bagi menghantar borang pencalonan jawatan pada Pemilihan Keadilan 2022 di Pejabat PKR, Petaling Jaya.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 APRIL 2022.

“Banyak sokongan dari akar umbi minta saya untuk bertanding Timbalan Presiden tapi kalau tengok kenyataan saya sebelum ini saya bagi laluan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bertanding melawan Rafizi Ramli.

“Saya nampak senarai calon untuk Naib Presiden adalah Fahmi Fadzil, Datuk Abdullah Sani, Chang Lih Kang, Chan Ming Kai dan MA Thinagaran serta Gunaraj George,” katanya.

Ditanya mengenai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Saari yang turut dikhabarkan akan bertanding jawatan sama, Farhash berkata, beliau bersedia untuk bertanding dengan Amiruddin di peringkat pusat dan juga peringkat Cabang PKR.

“Baguslah kita tanding di kedua-dua peringkat (Naib Presiden dan Ketua Cabang Gombak). Tidak ada isu kerana ini pertandingan adik beradik, tidak ada masalah,” jawabnya. – MalaysiaGazette.