Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman bersama Putri Safica Sari Samsukirno (dua dari kiri) menziarahi kubur ibunya di Tanah Perkuburan Raudhatus Sakinah, Batu Caves

BATU CAVES – Seramai tiga anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat dijangkiti wabak Covid-19 menerima sumbangan Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi Program Ziarah Ramadan 2022 di sekitar Kuala Lumpur semalam

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, program itu bertujuan menyantuni anak-anak yang kehilangan ibu- bapa kerana dijangkiti Covid-19 yang melanda negara baru-baru ini.

“Di saat umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal yang menjelang tidak lama lagi, ada yang dirudung malang dan kesedihan, jadi kami (PPZ-MAIWP) melawat rumah mereka yang berdepan kehilangan tempat bergantung.

“Di samping itu, kami (PPZ-MAIWP) dan pembayar zakat yang menerima wakalah bekerjasama menyantuni mereka untuk cuba mencipta kegembiraan dan mengukir senyuman dengan memberi bantuan sebanyak RM2,800 kepada tiga keluarga tersebut agar dapat meringankan sedikit beban yang mereka harungi” katanya ketika ditemui.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP, Azrin Datuk Abdul Manan, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, pihaknya juga berkunjung Tanah Perkuburan Raudhatus Sakinah, Batu Caves untuk membawa anak-anak yatim piatu itu menziarahi pusara ibu bapa mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman

Menurutnya, ada juga yang baru kali pertama menziarahi kubur kerana beberapa kekangan perjalanan dan masa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan memberikan bantuan kepada Abdul Rashid Zainal Ariffin, di rumahnya, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur

Jelasnya, PPZ-MAIWP turut menawarkan bantuan persekolahan kepada salah seorang anak yatim piatu, Abdul Rashid Zainal Ariffin, 15, seperti pakaian persekolahan, biasiswa pembelajaran untuk memudahkan mereka bersekolah, sekolah di Darul Kifayah MAIWP.

“Dalam era pandemik ini, kalau kita lihat ramai yang dahulunya golongan M40 kini menjadi B40 dan ramai yang jadi asnaf segera, jadi kami ingin mengutip zakat sebanyak yang mungkin untuk membantu mereka yang memerlukan ini termasuk golongan asnaf ini.

“Saya pinta ambillah kesempatan di bulan mulia ramadan ni untuk menunaikan fardhu ain, zakat ini dan jangan menangguh-nangguhkannya kerana ada insan yang memerlukan wang yang dizakatkan ini,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast