Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad hadir ke mahkamah atas pertuduhan rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 MAC 2O2O.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Mei ini untuk membuat keputusan terhadap bantahan pembelaan berkaitan maklumat yang diperolehi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah membabitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bantahan dikemukakan pasukan pembelaan yang diketuai peguam Datuk K. Kumaraendran terhadap SPRM yang menyiasat kes tersebut dengan cara hearsay atau dengar cakap yang bersifat prejudis terhadap tertuduh pada 12 April lalu

Bagaimanapun, ketika sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How berkata, hakim Rozina Ayob tidak sihat dan telah diberikan cuti seminggu.

“Oleh itu, kami mohon untuk mendapatkan tarikh lain bagi sambung bicara,” katanya di hadapan Hakim Azura Alwi yang menggantikan Rozina, hari ini.

Azura menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 9, 10, 17 dan 18 Mei ini.

Difahamkan pada 9 Mei, Rozina akan membuat keputusan terhadap keputusan permohonan pembelaan itu.

Pada 12 April lepas, peguam Kumaraendran berkata, laporan maklumat pertama (FIR) dibuat atas maklumat pegawai atasan dan beliau mendakwa ia merupakan percubaan pendakwaan menggunakan ‘pintu belakang’ agar laporan itu diterima mahkamah.

“Tetapi tidak ada pihak ketiga yang tampil buat aduan. Pendakwaan guna pintu belakang supaya laporan kes ini di terima di mahkamah,” ujarnya.

Kumaraendran berkata, laporan itu tidak boleh diterima sebagai keterangan memandangkan tidak ada seorang pun membuat laporan kepada pegawai SPRM.

Bagaimanapun pendakwaan berhujah FIR masih diterima dan siasatan dimulakan kerana pengadu adalah pegawai atasan.

Kata Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sophian Zakaria, SPRM mempunyai kuasa istimewa untuk menyiasat aduan dan maklumat yang diterima daripada pemberi maklumat

Pada 3 Mei tahun lalu, Bung mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual. Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie,42,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama. -MalaysiaGazette