Mohd Uzir Mahidin

 

KUALA LUMPUR – Prospek ekonomi Malaysia positif dalam masa terdekat berdasarkan indikator tiga bulan pertama tahun ini.

Mobiliti yang tinggi dijangka berlaku dengan pembukaan sempadan antarabangsa serta ditambah pula dengan sambutan Aidilfitri.

Lanjutan itu, pengeluaran khas kumpulan wang simpanan pekerja baru-baru ini dilihat akan meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan yang seterusnya akan merangsang ekonomi.

Namun begitu, senario global yang berterusan akan meningkatkan harga komoditi yang mendorong kepada jangkaan inflasi, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

“Jumlah perdagangan negara mengekalkan prestasi kukuhnya dengan mencatatkan pertumbuhan 17.5 peratus, mencecah RM184.8 bilion daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021.

”Kedua-dua eksport dan import masing-masing melonjak kepada 16.8 peratus dan 18.4 peratus tahun ke tahun dengan merekodkan RM102.3 bilion dan RM82.5 bilion, menyumbang kepada lebihan dagangan yang melebar sebanyak 10.7 peratus.

”Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia mengekalkan momentum dua angka pada Mac 2022, berkembang 27.3 peratus. Eksport meningkat 25.4 peratus, import tumbuh 29.9 peratus dan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan, naik 10.3 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menggambarkan senario buruh negara, beliau berkata, kerancakan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang berterusan mendorong kepada pemulihan perniagaan dan kebangkitan semula sektor pelancongan domestik yang banyak membawa manfaat kepada situasi buruh Malaysia.

Bilangan penduduk bekerja pada Februari 2022 meningkat 3.0 peratus kepada 15.73 juta orang justeru, nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 1.1 mata peratus kepada 66.3 peratus pada Februari 2022, iaitu lebih tinggi daripada Februari tahun lalu iaitu 65.2 peratus.

Sementara itu, kadar pengangguran bertambah baik berbanding bulan sebelum dengan merekodkan 4.1 peratus.

IP merekodkan penurunan marginal 0.5 peratus tahun ke tahun pada Februari 2022 berikutan krisis global yang menjejaskan pasaran saham.

Namun, perbandingan bulan ke bulan, IP mengekalkan prestasi menaik 0.5 peratus, menandakan bahawa ekonomi Malaysia masih kekal utuh.

Walaupun begitu, ketidaktentuan pasaran global dijangka akan memainkan peranan penting dalam mencorak pertumbuhan ekonomi negara dalam beberapa bulan akan datang, ujarnya. – MalaysiaGazette