Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JPPH) hari ini mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya segera bertindak menyelesaikan bebanan tugas guru yang menjadi warden asrama.

Menurut JPPH, walaupun KPM telah turun padang melihat sendiri keadaan sebenar dan mengambil maklum keluhan guru-guru namun sehingga hari ini masih belum ada keputusan yang jelas apa tindakan akan diambil untuk menyelesaikannya.

Oleh itu, JPPH mendakwa masih terdapat pelbagai keluhan daripada guru-guru berkaitan bebanan tugas mereka yang begitu banyak sehingga menjejaskan tumpuan guru berkenaan untuk mendidik.

“Memandangkan hujung minggu ini, proses kemasukan pelajar berasrama penuh akan berjalan, maka wajar KPM mengumumkan langkah bagi memastikan guru yang memikul tugas warden tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, JPPH mencadangkan empat perkara untuk diberi perhatian oleh KPM bagi menyelesaikan masalah yang tersebut.

Cadangan-cadangan itu adalah jawatan warden sepenuh masa di asrama dilantik oleh bukan guru yang mana kedudukannya sama dengan kedudukan jawatan jurulatih sepenuh masa, kaunselor berdaftar dan pembantu makmal.

Manakala, guru warden boleh dilantik dalam kalangan guru akademik (jumlah masa mengajar dikurangkan) yang bertugas memimpin dan memantau warden sepenuh masa di asrama.

“Jumlah warden dengan nisbah jumlah pelajar mestilah realistik dan mencukupi serta KPM wajar menaikkan elaun warden kepada guru yang memikul tugas tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette