Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin bertemu dengan ketua-ketua parti politik, Selasa lalu. foto Istana Negara

MAKALAH ini sebagai lanjutan Wacana Pemikiran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, siri 1 yang mana penulis salah seorang daripada panel yang terlibat. Program anjuran Majlis Belia Negeri Perak (MBN Perak) dengan kerjasama Universiti Sultan Azlan Shah ini dikelolakan secara dalam talian dengan begitu cemerlang oleh panitia penganjur pada 11 Mac 2022.

Tujuan program ini secara tulennya memberi tumpuan menggelintar isi titah ucapan DYMM Tuanku Sultan Nazrin, Sultan Pemerintah Kerajaan Perak yang termuat dalam buku ‘Siri Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah’. Buku yang mengandungi koleksi 36 titah Baginda ini telah dilancarkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 21 Oktober 2021.

Teks yang dipilih bertajuk “Institusi Raja Berperlembagaan Kelangsungan Negara Bangsa” yang termuat dalam buku berkenaan.

Institusi Istana dan Pusat Keilmuwan

Bukanlah suatu yang asing membincangkan perihal penglibatan istana dalam menyalakan ghairah keilmuwan. Contoh di bawah ini dapat dirujuk. Direkodkan bahawa Sultan Iskandar Shah Ibni Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, Sultan Negeri Perak ke-30 merupakan seorang raja pemerintah yang bertaraf ulama dan soleh. Baginda meninggalkan tanda mata dengan mengarang sebuah kitab berjudul Risalah Iskandar Shah. Sebahagian besar isi kitab ini membahaskan pelajaran tauhid, fekah, tasauf dan nasihat-nasihat baginda kepada rakyatnya.

Di zaman Tuanku Abdul Rahman Ibni Tuanku Muhammad menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (1933 – 1957), baginda menggalakkan dan bahkan pernah pada suatu waktu mempengerusikan majlis perbahasan agama yang melibatkan tokoh ulama berpengaruh di negeri berkenaan. Debat diadakan di Istana Besar Seri Menanti dengan dihakimi oleh Tunku Besar Burhanuddin Ibni Tuanku Antah iaitu kerabat raja ketika itu. Lebai Maadah b. Layang dipertemukan di balai istana berhadapan Tuan Haji Muhamad Mustaffa dari Kuala Jempol membahaskan beberapa masalah agama.

Sultan al-Mu’azzam ‘Ala’eddin Sulaiman Shah, sultan Selangor (1898 – 1938) turut meninggalkan karangan berharga iaitu kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman. Kitab ini membicarakan mengenai akidah berdasarkan manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah.

Beberapa contoh ini sempat dipetik daripada sekian banyaknya contoh lain yang menayangkan kedekatan hubungan antara istana dengan kegiatan ilmu. Tidak sekadar sebagai payung, malah setengahnya menjadi pelakunya.

Kita majukan peribadi institusi beraja mewakili era kontemporari ini iatu sultan yang sedang dibicarakan isi titah ucapan baginda ini. Sultan Nazrin Muizzuddin Shah naik takhta sebagai Sultan Perak ke-35 pada 28 Mei 2014. Baginda terkenal dengan kebitaraannya sebagai seorang yang cintakan ilmu. Sering mendapat sorotan lensa awam yang menemui baginda mengunjungi kedai-kedai buku utama seperti Kinokuniya, MPH Bookstore. Tidak hairan, Sultan yang menerima latihan pendididikan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford dan Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard ini dilantik sebagai Penaung Pusat Pengajian Universiti Oxford Asia Tenggara. Sebuah manifestasi keseriusan dan penghormatan terhadap baginda dalam menghangatkan iklim intelektual. Buku yang menghimpunkan siri titah ucapan baginda ini selayaknya sebagai buku ilmiyyah yang mewakili renungan intelektual Baginda terhadap pelbagai tema dan lapangan ilmu pengetahuan.

Tenaga Utama

Kembali kita membicarakan teks yang dipilih. Semangat yang mendasari titah ini berupa ketegasan moral tuanku Sultan untuk menganjurkan rakyat memikir ulang dan menyemak semula peranan institusi Diraja yang selama ini dipersepsikan massa hanya sebagai memainkan fungsi pasif sebagai memenuhi ceremonial (upacara) sahaja.

Baginda menzahirkan bahawa kuasa telah ditaklifkan Allah SWT pada sesiapa yang dikehendaki berdasarkan perspektif surah ali-Imran ayat – 26 yang membawa bersama hak-hak dan beban amanah disamping hubungan kesalingan, taat setia daripada rakyat jelata. Manakala, surah al-Hujurat, ayat – 13 yang memaparkan betapa persoalan negara bangsa juga terdapat landasannya dalam Islam.

Peranan institusi raja sering digeserkan kepada sekadar simbolisme kepersekutuanan dengan hanya hadir bagi ‘mencemar duli’ atau merasmikan acara-acara rasmi sahaja. Kesalahtaksiran ini disanggah dengan nyaring oleh baginda. Bahawa institusi raja lebih daripada sekadar hanya menjadi ‘cop mohor’, atau pemotong reben merasmikan sesuatu acara berprestij. Banyak sekali peranan besar yang diartikulasikan institusi beraja yang diberikan punca kuasa oleh Perlembagaan samada persekutuan atau negeri. Sebagai contoh, Yang di-Pertuan Agong berdasarkan peruntukan yang dikhaskan oleh Perlembagaan Malaysia berperanan menurunkan cop mohor sebagai melegitimasikan keabsahan sesuatu undang-undang yang diluluskan oleh badan legislatif, berkuasa memanggil, menangguhkan dan membubarkan parlimen, sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera persekutuan serta berbagai lagi peranan signifikan lainnya.

Namun, persepsi umum yang meleset masih dapat dikesan di sana sini oleh masyarakat awam. Tidak syak lagi ia dibentuk oleh pandangan yang tidak berasaskan darjah literasi kenegaraan yang cukup disamping sentimen para kelompok liberal yang tiada berdasar pada rasional.

Peranan raja sebagai faktor penyatu, atau‘ unifying factor’, ‘custodian of the state, protector of Malay rights and figure head of all races” yang mempersatukan kepelbagaian demografik, agama dan budaya ini di bawah satu kesatuan bangsa cita/idaman (nation of intent) dan negara bangsa (nation-state) tidak perlu dimungkiri.

Sebelum pembentukan Malaysia sebagai suatu unit geopolitik, beranda tanah air ini telah didatangi oleh kaum dagang daripada rantau Kepulauan Melayu sendiri serta daripada Tanah Besar China dan India. Ini tentu sekali meningkatkan intensiti, sifat heterogen yang menawarkan perbezaan permukaan. Jika perihal ini tidak diurus dengan baik boleh mendorong memicunya perbalahan. Pada awal kedatangan kaum-kaum imigran yang hari ini telah menjadi warganegara Malaysia yang berdaulat, taat setia dan perasaan patriotisme mereka masih berpaksikan negara asal masing-masing. Mereka melanggan berita dan saluran media yang memaparkan isu di tanah asal mereka, mengikuti proses sosiopolitik dan menumpahkan patriotisme kepada pemerintah di sana.

Namun, kedaulatan Raja-Raja Melayu yang memberikan perkenan dan hak kerakyatan berdasarkan perlembagaan dan undang-undang telah mendorong perasaan berkenaan disalurkan ke wilayah penghijrahan mereka yang kelak menjadi tanah air dan tanah tumpah anak cucu mereka di sini. Inilah peranan institusi raja yang jarang didendangkan. Bahawa, raja pemerintah negeri-negeri di Malaysia ini telah melayangkan payung panji yang menaungi kepelbagaian demografik ini menyatu di bawah suatu negara idaman yang baru.

Di samping itu, institusi raja melalui kejernihan fikiran, renungan aqli, pertimbangan akhlak terhimpun dalam kebijaksanaan besar untuk menangani isu-isu yang mungkin dan pasti akan berlaku di luar daripada yang dijangkakan. Ini memerlukan ketenangan dan hikmah mendalam bagi mencari jalan keluar yang terbaik. Baginda berkuasa memanggil para ulama, sarjana, saintis, teknokrat, birokrat, aktivis dan kumpulan berkepakaran khas lainnya untuk mendapatkan nasihat sebelum baginda membuat sebarang keputusan.

Baginda merujuk Sun Tzu yang memerihalkan mengenai elemen kejutan (element of surprise) yang akan sentiasa terjadi dalam proses mengatur pemerintahan manusia. Justeru, raja perlu sentiasa bersedia, melangsungkan renungan, menyelam kedalaman hening fikiran untuk mengambil mutiara hikmah tersembunyi yang dapat dibawa ke muka yang kelak menjernihkan sengketa. Pada satu keadaan, raja perlu memutuskan sendiri perkara-perkara yang tidak bertemu kesepakatan daripada seluruh ahli memanda menteri. Justeru demikian pentingnya peranan institusi raja tiadalah berpatutan rakyat jelata mempojokkan institusi ini hanya pada keupacaraan rasmi sahaja.

Soal Berbangkit

Timbul beberapa debat ringan dalam wacana berkenaan mengenai siapakah yang lebih berkuasa, sultan atau anggota eksekutif? Banyaklah jawab yang dihantarkan ke tengah. Bahawa pada penulis tiada syak lagi dengan beberapa kes penting yang berlaku pada purnama lepas, maka zahir di mata rakyat bahawa SBP YDPA jugalah yang paling berkuasa dan yang mempunyai kepentingan pertama dan terutama di antara seluruh isi negeri. Kes perlantikan Perdana Menteri yang menurut perlembagaan hendaklah dilantik oleh SBP YDPA berdasarkan perkiraan ‘mungkin mendapat majoriti sokongan dalam Dewan Rakyat’ dapat dimajukan sebagai rujukan. Keterangan lengkap mengenainya dapat dibaca dalam perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan ;

”Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri”.

SBP YDPA menggunakan kebijaksanaan baginda mengadili kes ini secara berhikmah. Boleh dilihat bila mana baginda memanggil sendiri semua ahli-ahli Parlimen untuk diadakan temuduga bagi mendapatkan sendiri jawapan mereka yang bulat, tidak hanya bergantung kepada Akuan Bersumpah semata. Sampel kes ini jelas mengartikulasikan peranan institusi YDPA bukan sekadar memenuhi upacara semata.

Baginda Sultan Nazrin memberikan enam unjuran bagi melestarikan kelangsungan negara bangsa yang dapat dirumuskan kepada dua perkara pokok ; menghormati tiang seri kenegaraan Malaysia seperti kedudukan agama, ketertinggian perlembagaan, kemuliaan institusi raja, kepersekutuanan Malaysia disamping pengukuhan institusi dan nilai-nilai murni yang menjadi tonggak masyarakat sivik.

Kesemua nilai ini jika dihayati dan ditanamkan dalam sanubari setiap warga boleh berperanan sebagai batu bata yang dapat membawa negara menuju matlamat kemakmuran negara bangsa.

Isu Personaliti dan Institusi

Timbul juga soalan diajukan oleh sidang hadirin mengenai pandangan massa yang muncul di satah sosial samada secara maya atau kehidupan realiti. Ianya berkisar andaian bahawa institusi raja telah semakin diremehkan oleh anggota masyarakat moden hari ini. Soalan yang diajukan ini bersifat andaian yang tiada didorong oleh perhitungan matematik. Jika ia bersumberkan pemerhatian, maka jawapan yang dapat dilayangkan juga bertolak daripada premis pemerhatian.

Penulis beranggapan isu ini bukanlah perkara baru. Ia berlegar dalam ruang wacana perpinggiran, kelompok sub alternatif yang tidak mewakili arus perdana. Namun, mereka ada. Punya lingkaran kumpulan yang signifikan juga mempengaruhi khalayak awam. Justeru, pandangan penulis kita perlu mengambil perhatian akan stigma ini. Bagi menjawab isu ini penulis menarik perhatian kepada dua segmen utama ; institusi dan personaliti. Kita perlu pisahkan antara kritikan terhadap institusi dan kritikan terhadap personaliti. Kebanyakan rakyat boleh dikatakan tiada isu terhadap penghormatan kedaulatan institusi diraja, malah mempertahankan sebagai tiang seri utama kedaulatan tanah air. Institusi raja diidentikkan sebagai maruah negeri/negara sendiri. Namun, ianya dilihat tergeser berikutan isu-isu personaliti yang sedikit sebanyak mengherotkan citra murni insitusi ini. Contoh yang boleh dibawa ke tengah sebagai mithalnya ; pemaparan gaya hidup bermewah-mewahan dan kekayaan berlimpahan sedangkan sesetengah rakyat hidup dalam kepapaan, isu moral yang melibatkan akhlak yang tidak mencerminkan sebagai penjaga utama agama Islam serta isu melibatkan rasuah dan kroni-kroni yang mendapat ‘lesen istana’ untuk melakukan aktiviti seperti pembalakan yang boleh mengancam kesejahteraan awam akibat banjir besar sebagai contoh.

Namun, sekali lagi penulis menyatakan bahawa ianya adalah pandangan peribadi yang menjawab soalan yang diajukan oleh sidang penonton. Tidak merujuk mana-mana konteks, apatah lagi ketika membicarakan titah ucapan seorang Sultan yang adil lagi saksama memerintah negeri.

Usaha baginda Sultan Nazrin yang mencemar duli merayakan aktiviti intelektual seharusnya menjadi model ikutan yang baik kepada rakyat. Bahawa seorang Sultan yang bersemayam di singgahsana istana telah meletakkan suri tauladan yang baik untuk dicontohi. Sebagai tiang tonggak kepada negara bangsa, rakyat yang taat setia terhadap tanah air yang udara dan buminya menjadi lahan hidup. Tauladan yang baik ini menjadi asbab kepada rakyat menurutkan seperti anjuran bahawa “pemimpin adalah cerminan kepada rakyat”. Ianya dapat direnung daripada sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Daylami dan al-Bayhaqi, Rasulullah SAW bersabda, “Sebagaimana kamu, begitulah dijadikan yang memimpin kamu (kama takunu yuwalla ‘alaykum).”

Semoga hamba rakyat sejahtera di bawah naungan Duli Tuanku.

Muhamad Hanapi Jamaludin
Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast