Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bersama peguamnya, Edmund pada sidang media selepas membuat laporan polis terhadap kes Jamal Md Yunos terhadap Skim Mesra Usia Emas Bil 4 Tahun 2016 di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 10 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah memanggil mahu pun mengambil keterangan daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) berjumlah RM200 juta.

Peguam kepada pemimpin DAP itu, Edmund Teoh mengesahkan perkara tersebut dan dokumen yang dihantar kepada badan siasatan itu juga berlainan daripada dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang dihantar kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Setakat ini memang tiada apa-apa panggilan daripada SPRM.

“Dokumen yang dihantar kepada SPRM adalah dokumen yang berlainan bukan dokumen yang ada dalam laporan polis ini,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Pada 7 Mei lalu, Teresa yang juga bekas Menteri Perusahaan Utama membuat laporan polis terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos di Balai Polis Sri Petaling kerana menggunakan dokumen dipercayai milik Perbendaharaan Negeri Selangor yang diklasifikasikan OSA bagi tujuan perbicaraan kes saman fitnah RM1 juta.

Sebanyak lima dokumen yang telah dihantar Jamal kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum pendengaran semula kes terbabit pada Jun ini.

Antara dokumen OSA itu ialah Minit Mesyuarat Penyelarasan Sistem Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Bilangan 4 tahun 2016, dua laporan status penghantaran buku tunai bagi setiap DUN, penghantaran penyata penyesuaian bank Pejabat Daerah 2016, Minit mesyuarat penyelarasan sistem SMUE Bilangan 2 tahun 2016 dan maklum balas mesyuarat penyelarasan sistem SMUE Bilangan 1 Tahun 2016.

Sebelum ini, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia membuat laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana SMUE berjumlah RM200 juta kepada SPRM pada 16 Februari 2017.

Laporan itu bertujuan mendesak SPRM menyiasat beberapa persoalan yang timbul berkaitan dana awam tersebut yang didakwa disalurkan kepada anggota Parlimen tertentu di daerah-daerah Hulu Langat, Gombak dan Petaling Jaya.

Jamal mendakwa, terdapat keraguan transaksi dana YAWAS berjumlah RM200 juta, apabila dana yang sepatutnya digunakan bagi program kebajikan rakyat Selangor, disalahgunakan selepas ia turut disalurkan kepada Ahli Parlimen PKR dan DAP di sekitar Kuala Lumpur.

Jamal mendakwa beliau mempunyai bukti surat daripada Perbendaharaan Selangor yang meminta pengurus sebuah bank membuka akaun bagi SMUE iaitu antara program di bawah YAWAS atas nama lapan orang ahli Parlimen sekitar Kuala Lumpur.

“Ia membolehkan pemegang akaun mengeluarkan duit maksimum RM5,000 pada setiap hari menerusi mesin pengeluaran wang automatik.

“Persoalannya kenapa dana rakyat negeri ini disalurkan kepada akaun ahli Parlimen luar? Atas kapasiti apa semua ahli Parlimen ini terima dana?” soal Jamal. – MalaysiaGazette