Dua anggota TLDM mengawal empat Pati, seorang tekong yang menceroboh perairan negara malam tadi.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya memintas sebuah bot mencurigakan yang sedang melalui jalan laut tidak diwartakan di perairan Johor Selatan malam tadi.

Hasil daripada pintasan itu, TLDM menahan empat lelaki warga Indonesia berusia 20 hingga 40 tahun dan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong bot berkenaan pada kira-kira jam 9.30 malam.

Menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Perak, semua mereka ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut.

“Aset TLDM FCB 1124 dan RHIB LEPAU yang sedang dalam penugasan Op Benteng Laut di bawah perintah kawalan KD HANDALAN di lapangan telah mengesan keberadaan sebuah bot mencurigakan sedang bergerak dari Pasir Gudang ke arah Selat Singapura.

“Bertindak atas pengesanan, FCB 1124 dan RHIB LEPAU lantas mengambil tindakan pantas melakukan pemintasan terhadap bot tersebut dan ditahan di posisi kira-kira 1 batu nautika Selatan Tanjung Pengelih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, semua pendatang asing tanpa izin itu termasuk tekong dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

TLDM berkata, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat pantas oleh semua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh akan dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“TLDM bersama agensi Penguatkuasa Maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” katanya. – MalaysiaGazette