Tee Siew Kiong

JOHOR BAHRU – Datuk Tee Siew Kiong hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian MCA Pontian, sekali gus keluar parti berkuatkuasa serta-merta.

Siew Kiong, 58 bekas yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang selama tiga penggal berkata, beliau tidak akan menyertai parti politik lain ketika  ini.

Kata bekas Setiausaha MCA Pusat itu, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keputusan parti yang menggantung keahliannya selama lima tahun bermula pada 13 Mei lalu.

“Hari ini, merupakan hari terakhir bagi tempoh 14 hari rayuan penggantungan keahlian dibuat. Namun selepas membuat pertimbangan dan mendengar pendapat semua pihak termasuk penyokong, saya tidak akan membuat rayuan.

“Ini kerana, saya berpandangan tidak akan berlaku sebarang perubahan apatah lagi cadangan hukuman daripada Jawatankuasa Tatatertib pun boleh diubah, jadi keputusan rayuan juga boleh dijangkakan,” katanya kepada media di Pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, bekas Exco Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor itu menafikan beliau akan menyertai parti politik lain.

Tambah Siew Kiong, beliau akan bersama keluarga sebelum membuat sebarang keputusan masa depan politiknya.

“Saya berserah kepada tuhan, sekiranya masih ada rezeki dan kemampuan pada diri saya menyumbang kepada masyarakat saya meneruskan kerjaya politik saya.

“Sekiranya Wee Ka Siong tidak menjadi Presiden MCA, saya mungkin akan kembali kepada MCA. Namun perkara itu mustahil akan berlaku dalam masa terdekat,” ujarnya.

Menerusi notis penggantungan yang ditunjukkan kepada media pada sidang akhbar sebelum ini, Siew Kiong digantung keahlian kerana mengkritik pimpinan parti dan mengeluarkan kenyataan palsu di dalam laman Facebook pada 25 Februari dan 21 April lalu. – MalaysiaGazette