Ismail Sabri bersalam dengan Dr. Mahathir ketika bertemu pada Majlis Makan Malam Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bertemu pada Majlis Makan Malam Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo malam tadi.

Dalam pertemuan tersebut, kelihatan Ismail Sabri bersalam dengan Mahathir sambil disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut Ismail Sabri, dalam pertemuan singkat itu, beliau berkesempatan untuk bertanya khabar kepada Mahathir.

“Kami berdua telah dijemput untuk menyampaikan ucaptama pada Persidangan Nikkei ke-27 yang bermula semalam.

“Tun Dr. Mahathir akan menyampaikan ucaptama pada persidangan itu pada pagi ini. Saya telah menyampaikan ucaptama pada pagi semalam.

“Dihoskan Nikkei Inc setiap tahun sejak 1995, persidangan ini menghimpunkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan tokoh-tokoh perniagaan bagi berkongsi visi untuk masa depan Asia,” kata Ismail Sabri.

Kehadiran Ismail Sabri merupakan penampilan sulungnya dalam persidangan yang dianjurkan setiap tahun oleh gergasi perniagaan Jepun itu.

Beliau tiba di negara berkenaan pada 23 Mei bagi memulakan lawatan rasmi pertamanya ke Jepun.

Ismail Sabri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Fumio Kishida, yang baru memegang jawatan itu Oktober lalu dalam lawatannya ini.

Sementara Mahathir pula kerap hadir sejak persidangan Nikkei sulung yang diadakan pada 1995. Beliau tiba di negara itu pada 24 Mei lalu.

Mahathir berkesempatan mengadakan berdialog bersama Komuniti Malaysia di Jepun (KMJ) yang bukan sahaja terdiri daripada pelajar-pelajar Malaysia tetapi juga mereka yang sedang bekerja di negara tersebut.

Persidangan tahun ini bertemakan bertemakan “Redefining Asia’s Role in a Divided World” atau “Mentakrifkan Semula Peranan Asia dalam Dunia yang Terbahagi”.

Pada 2021, Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan kira-kira RM149 bilion.

Sehingga 2021, Jepun adalah pelabur asing ketiga terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek dilaksanakan bernilai kira-kira RM90.9 bilion.-MalaysiaGazette