Penyanyi dan komposer, Yuvan Shankar Raja (kiri) bersama Ketua Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthiger (kanan) pada sidang media mengenai konsert mega anjuran Malik Streams yang bakal berlangsung di Axiata Arena di Hotel Shagri-La, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Pastinya peminat komposer muzik filem terkemuka India, Yuvan Shankar Raja begitu teruja dengan penganjuran konsert beliau di negara ini apabila lebih 9,000 tiket habis terjual dalam tempoh kurang dua jam selepas penjualannya dibuka beberapa hari lepas.

Malah penganjur, Malik Streams Corporation diterajui oleh Datuk Abdul Malik Dasthigeer menambah sehari lagi konsert itu bagi memenuhi permintaan luar biasa peminat di negara ini.

Konsert itu akan berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil pada 16 dan 17 Julai ini selain penganjur turut merancang mengadakan jelajah di Johor pada minggu berikutnya.

Yuvan mengadakan konsert jelajah ‘Live in Concert: Yuvan 25’ seluruh dunia memilih Malaysia sebagai destinasi pertama sebelum ke negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Jerman serta Dubai selepas itu.

Menariknya, konsert jelajah dunia ini antara yang terpenting dalam karier beliau kerana meraikan kariernya yang sudah menjangkau lebih 25 tahun dalam dunia muzik sehingga menempa nama di peringkat antarabangsa.

Untuk makluman, Yuvan merupakan anak lelaki kepada legenda muzik India, Illaiyaraaja yang telah mewarnai dunia muzik India malah arena antarabangsa sejak 70-an lagi.

Yuvan yang tiba di Malaysia sejak Jumaat lepas dalam pertemuan bersama media di Hotel Shangri-La di sini hari ini melahirkan rasa terujanya dengan penganjuran konsert ini.

Penyanyi dan komposer, Yuvan Shankar Raja bercakap di sidang media mengenai konsert mega anjuran Malik Streams yang bakal berlangsung di Axiata Arena di Hotel Shagri-La, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JUN 2022.

“Saya memang agak terkejut dengan penerimaan saya di sini, tiket habis terjual sekelip mata tidak sampai dua jam. Sememangnya teruja lagi-lagi selepas pandemik Covid-19, inilah konsert jelajah pertama saya lepas lebih dua tahun. Kena pula tahun ini saya menyambut ulangtahun ke-25 karier muzik saya. Memang teruja.

“Malaysia sentiasa dekat di hati, sentiasa menjadi inspirasi. Apabila saya bertemu tanpa sebarang perancangan dengan Datuk Malik dalam penerbangan ke Dubai, terus kami bersetuju untuk anjur konsert di Kuala Lumpur.

“Pasukan Datuk Malik memang hebat, terima kasih juga kepada Encik Zubair. Anda semua buat saya seperti keluarga, bukan rasa seperti berada di luar negara tetapi dengan keluarga sendiri. Konsert ini akan memberi memori yang paling indah buat saya dan anda sekelian.

“Semua lagu popular yang telah saya gubah selama 25 tahun ini dalam lebih 100 filem ini akan di perdengarkan kepada anda,” katanya kepada media hari ini.

Konsert dua hari Yuvan itu dijangka turut disertai beberapa artis dalam dan luar negara, pemuzik, penari dan lain-lain dengan nama besar 

Untuk hari pertama konsert, para peminat akan dihiburkan dengan persembahan bertemakan romantik serta lagu-lagu mendayu manakala hari kedua akan beralih kepada ‘Rowdy Baby’ berirama rancak, berwarna-warni dan parti.

Harga tiket bermula antara RM105 sehingga RM2,500 dan dijual di www.ticket.asia. Jualan tiket konsert hari kedua akan dimulakan sekitar 2 petang pada 8 Jun ini. -MalaysiaGazette