DBKL rental rent agent PPR PA
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) akan melaksanakan kerja- kerja perkhidmatan kejuruteraan untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu.

“DBKL tidak pernah melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya atau memberikan kebenaran kepada mana – mana pihak untuk melantik SCIB bagi melaksanakan apa – apa kerja perkhidmatan kejuruteraan untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu bagi pihak DBKL.

”Apa-apa nilai kontrak atau kuantiti yang dinyatakan oleh pihak SCIB adalah di luar pengetahuan DBKL,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebaliknya, DBKL berkata, setakat ini ia telah melantik secara berperingkat 29 syarikat panel yang mempunyai lesen network facilities provider (NFP) sejak tahun 2013 bagi melaksanakan penggantian tiang lampu sediada kepada tiang lampu berintegrasi sistem pemancar telekomunikasi (dwi fungsi) di sekitar Kuala Lumpur.

Segala kos penggantian tiang lampu ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat panel tersebut.

Tiang lampu dwifungsi tersebut merupakan tiang lampu jalan yang diintegrasikan dengan pemancar telekomunikasi.

Jelasnya, rasional pembinaan tiang lampu dwifungsi ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di Kuala Lumpur kepada rangkaian 5G selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyiapkan infrastruktur ini di Kuala Lumpur secepat mungkin.

Tujuan utama adalah untuk meningkatkan kualiti dan liputan perkhidmatan komunikasi tanpa wayar seterusnya pengguna di Kuala Lumpur dapat menikmati kemudahan perkhidmatan 5G yang terbaik.

Baru-baru ini, SCIB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd, menerima surat lantikan bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM30.75 juta daripada Ennova Sdn Bhd.

Menurut pengeluar produk pembinaan dan konkrit itu kontrak berkenaan membabitkan penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang untuk DBKL.

Perkhidmatan kejuruteraan projek untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu DBKL dijangka bermula pada Jun 2022 dan berakhir pada Mei 2023.

“Kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan SCIB Group kerana sebarang keuntungan yang boleh diagihkan kepada kumpulan akan direalisasikan secara berperingkat sepanjang tempoh dan kemajuan kontrak,” katanya. – MalaysiaGazette