Kerk Chee Yee (tengah) mendengar aduan penduduk di tapak projek pembinaan medan selera di hadapan Jalan Bukit Melaka 1/9 yang didakwa bakal meragut keselamatan dan keamanan penduduk sejak lebih 20 tahun lalu.

MELAKA – “Selama lebih 20 tahun, kami bahagia hidup di sini, tiba-tiba sahaja tanpa sebarang perbincangan kami dapat tahu sebuah medan selera akan dibina betul-betul depan rumah penduduk,” kata S.R. Selvaraja, 61.

Pesara guru itu adalah sebahagian daripada kira-kira 2,000 penduduk sekitar Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang, Ayer Keroh di sini yang meluahkan kebimbangan terhadap projek pembinaan sebuah kawasan medan selera di hadapan Jalan Bukit Melaka 1/9.

Menurutnya, lebih mengecewakan, projek berkeluasan kira-kira 0.4 hektar itu hanya diketahui minggu lalu melalui bekas Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tanpa melibatkan sebarang perbincangan bersama persatuan penduduk berkenaan sebelum ini.

S.R. Selvaraja

“Projek ini jaraknya kurang 10 meter dari rumah saya dan saya boleh bayangkan risiko yang bakal dihadapi terutamanya melibatkan pencemaran bau yang pastinya mengundang banyak haiwan perosak di medan selera ini kelak.

“Kawasan perparitan dan tong-tong sampah di sini pasti akan menjadi sarang tikus, selain anjing dan kucing liar akan bertambah di sini sekaligus menggugat keamanan kami selama lebih 20 tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Lim Chuan Wen

Seorang lagi penduduk, Lim Chuan Wen, 36, berharap pihak Majlis Perbadaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dapat mengkaji semula cadangan itu kerana sudah ada sebuah medan selera lain kurang 200 meter dari tapak cadangan itu yang tidak digunakan sepenuhnya.

“Saya hairan, kenapa perlu bina sebuah lagi medan selera dan lebih teruk, kami langsung tidak dimaklumkan sebelum ini dan saya merayu kepada MPHTJ tolonglah kaji semula projek ini.

“Saya terkejut apabila tiba-tiba sahaja lihat ada jentolak bersihkan tanah lapang milik pamaju itu minggu lalu sedangkan dulu, pemaju janji nak bina padang tenis atau kawasan hijau di situ,” katanya.

Lee Cheng Kian

Warga emas, Lee Cheng Kian, 71, berkata, projek medan selera itu jika diteruskan akan mengakibatkan masalah pencemaran bunyi dan menimbulkan masalah lain seperti kekurangan tempat letak kereta yang sememangnya sudah terhad ketika ini.

“Sekarang ini, kami tiada masalah tempat letak kereta walaupun kawasan terhad tetapi jika projek ini diteruskan, tentulah ia menjadi tumpuan ramai menyebabkan timbul isu parkir yang akan menyusahkan penduduk,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, kebimbangan disuarakan penduduk itu munasabah dan wajar diberi perhatian sewajarnya oleh pihak MPHTJ.

Kerk Chee Yee

“Kita telah mengumpulkan 63 tandatangan petisyen daripada penduduk yang membantah projek di kawasan padat ini atas pelbagai alasan yang munasabah kerana bakal mengakibatkan masalah kesesakan, kebersihan dan pencemaran bunyi.

“Saya berpendapat, MPHTJ wajar mengadakan satu dialog melibatkan penduduk kerana mereka mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai projek berkenaan yang hanya berjarak 10 meter daripada rumah penduduk,” katanya.