Ibrahim Ali

TANAH MERAH – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memberi amaran kepada kerajaan Pas Kelantan agar tidak berterusan menyalahgunakan kuasa mengurus pembalakan atas nama Ladang Rakyat.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan, penyalahgunaan kuasa itu menyebabkan puluhan ribu ekar tanah Hutan Simpan dan tadahan air di negeri itu telah bertukar tangan kepada tauke tertentu untuk tempoh 66 hingga 99 tahun.

“Sudah ada laporan termasuk dari saya sendiri dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis pada 14 April lalu. Sedih melihat alam sekitar musnah dan tanah runtuh menyebabkan sungai menjadi kotor.

“Secara ringkas saya memberi amaran, sejarah kebangkitan rakyat Kelantan seperti tahun 1978 akan berulang sehingga Kelantan diisytihar darurat selama tiga bulan.

“Tidak mustahil ianya akan berulang jika kerajaan Pas Kelantan terus rakus membalak kerana ketamakan pihak tertentu tanpa memikirkan kesan buruk berlaku,” katanya ketika menyampaikan ceramah perdana Putra Bahagian Tanah Merah di Felda Kemahang, dekat sini, malam tadi.

Sebahagian daripada kira-kira 300 penduduk Felda Kemahang, Tanah Merah yang hadir mendengar penerangan daripada kepimpinan Putra pusat, negeri dan bahagian.

Turut hadir, Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hasan; Pengerusi Putra Pahang, Rusdi Rosli; Penasihat Undang-Undang Putra Kelantan, Nasir Abdullah; Ketua Putra Bahagian Tanah Merah, Datuk Aziz Hamid; dan Ketua Putra Pasir Mas, Datuk Zulzainal Sukri.

Beliau percaya puluhan ribu rakyat akan membanjiri Kota Bharu jika terus berlaku kezaliman dan salah urus tadbir negeri serta angkuh dan sombong dengan kenyataan biadab yang tidak mencerminkan sifat istiqamah kepimpinan Islam.

Ibrahim mengajak rakyat Kelantan sama-sama merealisasikan impian bersamanya menjadikan negeri itu destinasi pelancong yang tersohor di dunia seperti Brisbane dan mewujudkan jutaan peluang pekerjaan.

“Bagi peluang kepada Putra dan saya boleh lakukan, insya-Allah, sebab saya ada otak dan saya berjuang bukan untuk kayakan diri sendiri, keluarga atau kroni. Jiwa saya jiwa bersama rakyat 100 peratus. Jatuh bangun saya bersama rakyat.

“Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah bertanya, jika Pas Kelantan jatuh, kepada siapa nak diserahkan? Kenyataan sombong ini seolah rakyat Kelantan tiada pilihan selain Pas.

“Rakyat Kelantan sebelum ini beri sokongan kepada Pas, sebab mereka benci kepada pemimpin UMNO Kelantan yang berlagak dan kerana meluap, mereka sokong Pas. Tiada pilihan kerana yang ada masa itu hanya Pas,” katanya.

Sekarang katanya, rakyat sudah benci kepada Pas kerana terlalu lama dan gagal menyelesaikan masalah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Betul tu datuk. Beritahu rakyat bukan pas saja pandai memerintah . Kalau cara pas sekarang 2×5 je dengan UMNO dulu . Mecerdess lebih penting daripada air rakyat . Fikir2kan ….

Comments are closed.