Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mendengar taklimat perumahan kuarters pada Majlis Pecah Tanah Rumah Kuarters DBKL di Jalan Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 JUN 2022.

KUALA LUMPUR — Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan pembinaan 5,000 unit Council Home sebagai salah satu inisiatif menangani masalah perumahan warga kota khususnya yang berpendapatan rendah.

Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Council Home berbeza berbanding Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Jelas beliau, walaupun ukuran saiz rumah tersebut 750 hingga 850 kaki persegi, disertakan tiga bilik tidur dan dua bilik air, rumah tersebut akan disewakan lebih rendah berbanding dengan harga pasaran.

Tambahnya, residensi itu boleh dibuat dengan cepat kerana peruntukan tersebut adalah daripada DBKL sendiri.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti lokasi sesuai untuk membina Council Homes di sekitar ibu kota seperti di Jalan Sungai Udang, Segambut; Jalan Siakap (Cheras); Taman Desa (Seputeh); Bandar Sri Permaisuri; Sungai Besi dan Seksyen 79, 1/48A, Bandar Baru Sentul.

“Lot 20010, Seksyen 79 ini asalnya merupakan tapak bagi Kuarters Kakitangan DBKL kemudian tapak ini dicadangkan sebagai Council Home bagi menggantikan bangunan kuarters asal yang sudah usang dan tidak sesuai untuk didiami,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Rumah Kuarters DBKL di Sentul hari ini.

Menurut Shahidan, pembinaan kuarters baharu itu melibatkan sejumlah 168 unit kediaman akan disewakan kepada kakitangan DBKL dan tapak tersebut sudah pun diserahkan kepada Tetuan Mercu Binaraya Sdn. Bhd. pada 4 April lalu.

Kuarters DBKL ataupun bangunan Council Home setinggi 20 tingkat itu dijangka dijangka siap pada 31 Mac 2024.

Pembinaan tempat berteduh baharu itu dibuat bagi membantu meringankan beban kos sara hidup kakitangan DBKL yang masih belum mampu membeli rumah sendiri.

Ujar Shahidan, hanya kakitangan golongan M40 ke bawah sahaja yang layak menduduki residensi tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast