Ismail Mina Ahmad

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina Ahmad mengisytiharkan pertubuhan itu tidak akan fokus menyokong sesebuah parti politik sebaliknya hanya menyokong agenda yang dibawa oleh calon bertanding.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, MUAFAKAT akan menyokong calon-calon yang memiliki pemahaman literasi ekologi al-Quran aras tinggi.

Menurut Ismail Mina, langkah itu bagi memastikan rakyat tidak lagi tertipu dengan janji-janji politik manakala calon-calon yang memiliki literasi ekologi al-Quran aras tinggi diyakini dapat membela rakyat dengan memikul amanah yang diberikan sebagai pemimpin.

“MUAFAKAT tidak fokus menyokong mana-mana parti politik dalam PRU 15. Sebaliknya kita akan menyokong calon-calon yang memiliki literasi ekologi al-Quran aras tinggi.

“Kita mahu calon-calon yang bertanding dalam PRU-15 benar-benar bertanggungjawab dalam membela rakyat dan agama. Ramai orang boleh membaca al-Quran namun belum tentu orang itu dalam menyelami, memahami serta menghayati pengisian al-Quran. Sebab itu kita mahu seseorang calon itu memiliki literasi ekologi al-Quran aras tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Mina berkata, seseorang calon yang bertanding mungkin bebas dan mempunyai rekod bersih dari rasuah seperti amalan sebelum ini iaitu setelah ditapis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun katanya, itu belum bermakna dia betul-betul amanah dan bersih segala-gala terutama dalam memahami serta menghayati isi al-Quran.

“Dalam hal ini, MUAFAKAT juga meminta rakyat dapat menilai calon-calon yang bertanding sebelum membuat pemilihan. Jangan tersalah langkah. Jika silap pilih kita terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk PRU seterusnya,” katanya.

Ismail Mina berkata, ada kalangan orang politik setelah menang PRU dan memegang jawatan tetapi terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.

“Harapan MUAFAKAT, jika seseorang itu memiliki literasi ekologi al-Quran aras tinggi, insya-Allah dia akan jadi pemimpin yang baik kerana dia takutkan Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast