Dr. Mohd Radzi Md Jidin

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan sebarang kedudukan prestasi sekolah khususnya bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, jika ada mana-mana pihak yang mengeluarkan kedudukan sekolah berdasarkan keputusan itu, ia di luar bidang kuasa KPM.

“Saya tak tahu kat mana Azlan dapat maklumat tersebut. Untuk makluman memang KPM tidak pernah keluarkan ranking tidak ada sebarang ranking yang dikeluarkan KPM untuk keputusan SPM.

“Tidak ada, boleh disemak tahun-tahun sebelum ini pun memang tak ada sebarang ranking dikeluarkan oleh KPM.

“Kalau ranking dibuat oleh pihak lain Maka di luar bidang kuasa kami,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sabtu lepas, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menggesa KPM menghentikan sistem penilaian berdasarkan kedudukan ranking sebagai pengukur prestasi antara sekolah.

Noor Azlan berkata, sistem tersebut merupakan satu kesalahan besar dan KPM sepatutnya fokus dalam tugas mendidik pelajar.

Dalam pada itu, KPM tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk mengumpul maklumat berkenaan kedudukan prestasi sekolah berdasarkan keputusan peperiksaan SPM.

“Ia memberi kesan mendalam kepada keseluruhan sistem dilihat sekolah wujudkan ranking untuk membuat perbandingan (prestasi sekolah).

“KPM tak pernah keluarkan ranking tetapi di luar sana ambil inisiatif mengeluarkan (ranking) susun semua itu di luar bidang kementerian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

KPM perlu berhenti letak ranking pada sekolah – Noor Azlan