Kedudukan JDT dalam Liga Super. Foto Johor Southern Tiger

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali ke kedudukan teratas liga selepas membenam Selangor FC 5-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Serangan bertubi-tubi JDT pada awal masa pertama menyaksikan gol pendahuluan hadir seawal minit ketiga menerusi penyerang import Bergson da Silva.

Fernando Martin Forestieri menggandakan jaringan pada minit ke-24 menerusi sepakan percuma setelah dijatuhkan Quentin Cheng Jiun Ho.

Gol ketiga pula dijaringkan Leandro Sebastian Velazquez di luar kotak penalti pada minit ke-35 selepas menerima hantaran daripada Muhammad Afiq Fazail.

Babak kedua menyaksikan hantaran lintang pemain sensasi JDT, Bergson sekali lagi membolosi gawang Selangor sekali gus menghadiahkan jaringan keempat buat pasukan itu.

JDT gagal untuk mengelak gawang mereka daripada dibolosi apabila pemain Selangor FC, Mohd Nor Hakim Hassan berjaya menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan lintang pada minit ke-82.

Bagaimanapun, JDT terus berpesta gol apabila tandukan Mohamadou Sumareh pada minit akhir memberikan kemenangan cemerlang buat JDT bagi perlawanan ketujuh pasukan itu.

Keputusan kekal 5-1 sehingga tiupan wisel penamat. – BERNAMA