Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)

KUCHING – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhasrat menjadikan destinasi menarik di negara ini sebagai lokasi wajib bagi produser filem dan drama antarabangsa menghasilkan penerbitan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, kesemua destinasi akan dipromosi menerusi kerjasama perbadanan itu dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Insya-Allah dengan promosi yang lebih giat, saya yakin lebih ramai lagi produser luar akan datang untuk membuat penggambaran di negara kita,” katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Penggiat Industri  Kreatif Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam kunjungannya ke Bangkok baru-baru ini bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, beberapa produser di Thailand telah menyatakan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pembikinan filem dan drama terbaharu mereka.

Katanya, minat yang ditunjukkan oleh produser terbabit menggambarkan potensi destinasi menarik di Malaysia terutama keunikan di Sarawak untuk ditonjolkan sebagai tarikan seterusnya menjana pendapatan negara.

Nasir berkata, Finas sedang memperkemas kaedah latihan yang dianjurkannya bagi membolehkan pemain industri perfileman tempatan menghasilkan ciptaan berkualiti tinggi.

“Finas, melalui dana pembangunan industri, ada peruntukan untuk persatuan dan syarikat perfileman di Sarawak atau Semenanjung untuk menganjurkan kursus serta latihan bagi mengasah bakat para pelakon, kru dan pengarah,” katanya.

Kira-Kira 40 penggiat industri kreatif Sarawak yang terdiri daripada penerbit, pengarah, pelakon, penyanyi dan  penulis skrip menghadiri program Sembang Santai anjuran Finas itu. – Bernama