Foto Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR –  Dua jaringan pantas pada minit-23 dan 25 menjadi pemangkin di sebalik kejayaan Johor Darul Ta’zim membenam cabaran PJ City melalui kemenangan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Menurut ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, lawan tampil dengan rentak bertahan yang baik pada permulaan lawan sehingga menyukarkan pemainnya untuk mencipta peluang.

Namun dua jaringan melalui Bergson da Silva dan Fernando Forestieri nyata mengubah suasana perlawanan yang memihak kepada JDT.

“PJ City sentiasa menjadi lawan yang kuat kerana mereka baik dari fizikal, bermain secara tersusun dan sentiasa berikan saingan dalam banyak aspek.

“Kami berjaya mendapatkan jaringan yang penting dalam saat yang tepat walaupun mungkin tidak seawal yang diharapkan.

“Selepas jaringan itu, situasi bertambah mudah buat saya dan pasukan kerana kami boleh mengawal perlawanan dengan lebih selesa.

“Lawan yang menggunakan formasi 5-3-2 dan ada kalanya 5-4-1, agak kompak di bahagian pertahanan malah tiada juga ruang banyak di bahagian tengah.

” Jadi kami cuba sepantas yang boleh mengekalkan penguasaan bola bagi memberikan tekanan kepada lima pemain di bahagian pertahanan, ” katanya.

Mendahului 2-0 di separuh masa pertama, JDT menambah dua lagi jaringan melalui Bergson (minit 65) dan Forestieri (minit 85).

Kemenangan ini mengukuhkan lagi cengkaman JDT di persada Liga Super dengan pungutan 22 mata, meninggalkan pencabar terdekat, Sabah melalui perbezaan tiga mata. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast