Tempoh lesen untuk peserta Program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) disambung bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

KUALA LUMPUR – Tempoh lesen untuk peserta Program Wilayah Bebas Berniaga (WBB) disambung bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, program yang telah dilancarkan pada 10 November 2020 itu dilanjut dengan penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi mengatasi isu seperti halangan lalu lintas, kebersihan, pembinaan struktur kekal dan sebagainya.

Bayaran fi lesen dikenakan untuk pembaharuan lesen sebanyak RM20 sebulan dan caj perkhidmatan sebanyak RM30 sebulan bertujuan bagi menampung kos kerja-kerja pembersihan dan pengurusan.

“Waktu operasi perniagaan sebelum ini dibenarkan untuk sepanjang hari dihadkan kepada dua sesi sahaja bagi mengawal keadaan semasa di tapak dan bagi memudahkan kerja kebersihan dilaksanakan.

“Peniaga boleh memilih satu sesi sahaja tertakluk kepada kesesuaian lokasi iaitu bagi sesi satu yang bermula dari 7 pagi hingga 7 petang, atau sesi dua, 6 petang hingga 12 malam,” kata kenyataan yang sama.

Saiz tapak atau kanopi yang dibenarkan hanya 8×8 kaki sahaja selaras kelulusan yang telah diberikan sebelum ini.

Sebarang penambahan saiz gerai di tapak tidak dibenarkan bagi memudahkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan, ujarnya.

DBKL berkata, pembaharuan lesen bagi aktiviti perniagaan barangan basah seperti ikan, ayam, sayur dan sebagainya tidak dibenarkan dan peniaga dikehendaki mengemukakan permohonan untuk masuk ke Pasar Terbuka / Pagi / Pasar Malam dan Pasar DBKL atau dikehendaki menukar jenis jualan selewat-lewatnya pada 30 September ini.

“Tindakan penguatkuasaan pelanggaran syarat-syarat lesen seperti meninggalkan barang di tapak, pembinaan struktur kekal, saiz kanopi melebihi had yang dibenarkan dan sebagainya akan dilaksanakan.

“Pemegang lesen dikehendaki mematuhi syarat -syarat
yang telah ditetapkan seperti yang dinyatakan di dalam lesen,” ujarnya.

Menurut DBKL lagi, penyusunan atau pemindahan penjaja akan dilakukan di lokasi tumpuan yang menyebabkan kacau ganggu atau aduan di lokasi yang telah dikenalpasti oleh DBKL.

Dalam pada itu, DBKL berkata, pemegang lesen diberi tempoh mulai 1 Julai sehingga 15 Julai untuk mengemukakan permohonan pembaharuan lesen secara talian melalui laman sesawang https://elesen.dbkl.gov.my/ atau hadir ke Kaunter Lesen Berpusat DBKL di Jalan Raja Laut.

Semakan keputusan permohonan pembaharuan lesen boleh dibuat melalui laman sesawang https://elesen.dbkl.gov.my/ mulai 1 Ogos hingga 15 Ogos depan, katanya.

Pemegang lesen dikehendaki menjelaskan bayaran fi lesen dan mencetak lesen untuk permohonan yang telah diluluskan dan tempoh lesen bernula mulai 1 Ogos hingga 30 September 2022 dengan bayaran sebanyak RM100.

“Permohonan pembaharuan lesen sehingga 31 Disember 2022 akan dibuka mulai 15 September 2022.

“Tujuan bayaran pembaharuan fi lesen dikenakan secara berperingkat bagi membantu mengurangkan beban kepada peniaga.

“Diharap peniaga-peniaga yang terlibat dalam program WBB dapat mematuhi dan memberi kerjasama terhadap arahan yang dikeluarkan oleh DBKL dari semasa ke semasa.

“Penambahbaikan yang dilakukan bagi memastikan program WBB dapat diteruskan secara holistik untuk jangka masa panjang bagi memastikan permasalahan dapat diselesaikan supaya warga kota dan peniaga mendapat manfaat bersama dalam Keluarga Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette