MELAKA – Melaka United FC berjaya mengikat pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 dalam aksi tunggal Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini, malam ini.

Pada perlawanan yang disaksikan lebih 17,000 penonton itu, pasukan pelawat lebih mendominasi serangan iaitu seawal minit keempat menerusi sepakan percuma Leandro Velazquez namun sedikit tersasar dari gawang.

Gerakan demi gerakan menyaksikan pasukan Harimau Selatan berjaya membolosi gawang tuan rumah apabila Leandro mudah menolak masuk bola ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol Melaka United Bryan See untuk mendahului perlawanan.

Tidak berputus asa, skuad Sang Kancil mula mencari peluang bagi menyamai kedudukan dan strategi itu berhasil selepas Justin Baas menyempurnakan umpanan Sony Norde pada minit ke-39.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung kedua permainan anak buah Benjamin Mora dilihat melakukan serangan bertali arus ke arah kubu tuan rumah namun Melaka United terus cemerlang mempertahankan kubu mereka.

Keputusan seri itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk tuan rumah berkongsi satu mata berharga dengan pasukan pelawat. – Bernama