Telur
Seorang pekerja menyusun telur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan kenaikan harga telur di pasaran di sekitar Pasar Borong Harian Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 3 FABRUARI 2022.

JIKA anda terlewat ke tempat kerja kerana faktor di luar kawalan anda – mungkin disebabkan kemalangan serius di sepanjang lebuh raya atau banjir kilat yang menyebabkan banyak laluan tidak dapat dilalui – apakah perasaan anda? Kebanyakan kita akan berasa kecewa atau stres. Kita mungkin bimbang terlepas mesyuarat penting atau sama ada majikan akan menerima penjelasan mengapa kita terlewat.

Tetapi bagi kebanyakan orang, mereka juga berasa redha atas nasib malang mereka. Mereka faham tidak ada gunanya menyalahkan cuaca atau pemandu melulu lain; ia tidak menyelesaikan masalah dan tidak produktif. Ini adalah faktor di luar kawalan mereka dan mereka lebih rela mencari penyelesaian untuk mengejar masa yang “terbuang” itu.

Walaupun rata-rata rakyat Malaysia redha dan menerima realiti akan faktor di luar kawalan mereka yang mengakibatkan mereka terlewat sampai di tempat kerja, mereka masih tidak menjiwai sikap ini terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Memang benar harga barangan seperti minyak masak, telur dan ayam, telah melonjak kebelakangang ini. Tetapi, puncanya adalah di luar kawalan Malaysia.

Pertama sekali, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menghadapi tekanan inflasi. Di United Kingdom, kadar inflasi terkini adalah 9.1%, tertinggi dalam 40 tahun. Di Amerika Syarikat, ia meningkat kepada 8.6%, juga paras tertinggi dalam empat dekad. Di Malaysia inflasi untuk bulan Mei hanya 2.8% mengikut Jabatan Perangkaan!

Kenaikan harga global disebabkan oleh pelbagai faktor. Sejak bermulanya pandemik Covid-19, rantaian bekalan global telah teruk terjejas. Sebagai contoh, tidak lama dahulu, restoran KFC tidak menghidangkan kentang goreng walaupun ia adalah antara hidangan paling popular di rantaian makanan segera tersebut. Ini disebabkan oleh kekurangan bekalan kentang global. Kekurangan bekalan bermakna kenaikan harga. Ini teori ekonomi asas!

Masalah ini diburukkan lagi dengan perang di Ukraine. Ketegangan geopolitik global dan pertempuran telah menjejaskan pengeluaran, bukan sahaja di rantau Laut Hitam, tetapi di seluruh dunia.

Faktor ketiga ialah corak cuaca yang tidak menentu. Hasil tanaman seperti gandum dan biji bunga matahari serius terjejas kerana cuaca tidak menentu ekoran pemanasan global. Ini mengakibatkan harga barangan seperti tepung dan minyak masak melonjak.

Semua ini adalah faktor di luar kawalan mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan Malaysia. Jadi mengapakah kita asyik menyalahkan kerajaan atas kenaikan harga seperti minyak masak dan telur?

Mana-mana kerajaan pun yang berkuasa hari ini tidak akan dapat membendung inflasi secara drastik. Ini adalah realitinya. Sekiranya terdapat penyelesaian yang mudah, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom hari ini tidak akan mengalami kadar inflasi yang telah mencekik kehidupan rakyat mereka, khasnya yang berpendapatan rendah.

Jadi saya tidak faham mengapa ramai di kalangan rakyat Malaysia asyik menyalahkan Kerajaan tentang masalah kenaikan harga. Adakah hantaran sinis di media sosial mereka dapat menyelesaikan masalah? Adakah kutukan mereka terhadap Kerajaan di grup WhatsApp dapat membantu mengurangkan harga barangan dan perkhidmatan? Adakah demonstrasi jalanan suatu penyelesaian?

Jika kita redha dengan hujan lebat yang menyebabkan perjalanan kita ke tempat kerja tertangguh, mengapakah kita tidak boleh menerima hakikat bahawa perubahan corak cuaca global menyebabkan harga minyak masak meningkat? Kedua-duanya juga merupakan faktor di luar kawalan kami.

Malah, tiada kerajaan di dunia, apatah lagi parti pemerintah atau pembangkang di Malaysia, boleh mengawal cuaca atau menamatkan perang di Ukraine dalam sekelip mata.

Menyalahkan pihak yang tidak bertanggungjawab adalah sesuatu yang bodoh, lompong dan berdosa. Ia hanya memberi harapan palsu bahawa masalah ini akan selesai jika pihak lain mengambil alih tampuk pimpinan. Pandangan itu bak mengharapkan agar hujan lebat tidak akan turun pada waktu pagi apabila kita perlu ke pejabat.

Dari menyalahkan cuaca buruk yang menyebabkan kita lewat ke pejabat, lebih elok kita memikirkan cara untuk menebus balik masa yang telah terluang semasa kesesakan lalu lintas.

Dari melenting tidak tentu pasal, adalah lebih baik dan produktif jika seseorang itu mencari penyelesaian peribadi untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Sebagai contoh, kita boleh beralih kepada penggunaan minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan.

Kita perlu realisti. Pentadbiran YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memperuntukkan kira-kira RM80 bilion subsidi untuk tahun ini, dan yang mendapat manfaat rata-rata kumpulan B40.

Redhalah, wahai rakyat Malaysia. Negara tidak perlu lolongan yang tidak bersandarkan kepada realiti dan dikaburi oleh sentimen politik. Ini hanya akan menjejaskan ekonomi negara yang belum lagi terlepas sepenuhnya dari cengkaman pandemik Covid-19.

Firdaus Abdul Rahman
Gombak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast