Mustapa Mohamad diberi penerangan cara-cara menyediakan kopi oleh Wan Najib Wan Daud (dua dari kiri) sempena pembukaan kedai Richiamo Coffee di Menara Prisma semalam.

PUTRAJAYA – Richiamo Coffee Sdn Bhd. membuka cawangannya ke-99 di Menara Prisma Presint 3 Putrajaya hari ini.

Cawangan ini merupakan konsep kiosk pertama yang dibuka oleh Richiamo Coffee.

Ia dirasmikan oleh Menteri Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Seri Mustapa Mohamed. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Mohamad Zamry Abu Samah dan beberapa tetamu jemputan lain.

Cawangan ke-99 itu dimiliki dan dikendalikan oleh Empire Coffee Works, merupakan cawangan ketiga selepas Wisma Bernama Kuala Lumpur dan Universiti Malaysia Perlis.

Pengarah Eksekutif Empire Coffee Works, Wan Najib Wan Daud berkata, pembukaan cawangan di Menara Prisma hasil perbincangan dengan pengurusan dan pemilik bangunan tersebut iaitu Pelaburan Hartanah Bhd yang menawarkan tempat dan perkhidmatan tambahan kepada kakitangan EPU dan Kementerian Kesihatan serta bangunan-bangunan berhampiran.

“Sebagai sebuah syarikat milik 100 bumiputera Richiamo Coffee selalu menekankan agar jenama ini boleh ditembusi oleh semua golongan lapisan masyarakat agar ia boleh berkembang sejajar dengan usaha kebelakangan ini”, katanya.

Selain di Menara Prisma, dua lagi cawangan Richiamo Coffee yang telah beroperasi berdekatan di Putrajaya ialah di Presint Diplomatik dan Tamarind Square Cyberjaya.

Ketika ini, jumlah keseluruhan cawangan Richiamo Coffee yang telah beroperasi di seluruh negara ialah 105 buah cawangan.

Di majlis tersebut Mustapa turut meluangkan masa melihat bagaimana kopi ‘dibancuh’ di kafe berkenaan yang menyajikan pelbagai variasi kopi termasuk Americano, Latte dan Espresso.

Malah Mustapa juga turut membuat sentuhan peribadi dengan membuat minuman Latte di majlis tersebut.

Richiamo Coffee Menara Prisma juga menghidangkan menu makanan barat dan tempatan seperti patin masak tempoyak, daging salai, siput sedut salai dan itik salai serta asam pedas tenggiri.

Selain itu, kek dan pastri juga turut dijual di sini. – MalaysiaGazette