Sebanyak 3,796 ekor lembu, kerbau, kambing dan bebiri yang akan disembelih sepanjang musim ibadah korban di Pahang.

KUANTAN – Sebanyak 621 permit sembelihan haiwan ternakan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterina (JPV) Pahang untuk ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterina (JPV) Pahang, Dr Kamaliah Ghazali berkata, sebanyak 3,796 ekor lembu, kerbau, kambing dan bebiri yang akan disembelih sepanjang musim ibadah korban ini.

Jumlah ternakan haiwan korban itu menunjukkan pertambahan berbanding tahun lalu.

“Hampir 87 peratus haiwan yang akan dikorbankan tahun ini merupakan ternakan lembu baka Kedah Kelantan (KK) dan selebihnya kerbau, kambing dan bebiri.

“Manakala daerah Kuantan menyaksikan jumlah haiwan terbanyak dikorbankan iaitu sebanyak 1,075 ekor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, bagi memastikan pihak yang melakukan ibadah korban mematuhi syarat permit sembelihan, pegawai JPV melakukan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat penyembelihan.

“Tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada pihak melakukan sembelihan tanpa permit dikeluarkan JPV demi memastikan haiwan yang akan disembelih berada dalam keadaan baik dan bebas penyakit,” katanya. – MalaysiaGazette