Ulat kereta sewa haram yang disyaki memancing pelanggan di KLIA berjaya dicekup JPJ Selangor.- Gambar iIhsan JPJ.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki terlibat dalam kegiatan perkhidmatan kereta sewa haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini dicekup Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, tangkapan ke atas kedua-dua individu itu dilbuat susulan pengintipan yang dilakukan pasukannya di sekitar KLIA.

Katanya, lapangan terbang utama pintu masuk negara itu menjadi lokasi ‘ulat’ kereta sewa mencari pelanggan baik tempatan dan pelancong asing.

“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ tersebut mengenakan tambang kepada penumpang warga tempatan dan pelancong antara RM100 hingga RM150 dari klia2 ke Kuala Lumpur dan Shah Alam.

“Kedua-dua suspek merupakan lelaki tempatan berusia 65 dan 43 tahun yang menjadikan kenderaan jenis Toyota Innova dan Honda City sebagai kereta sewa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairul, operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan pihaknya dan tindakan tegas akan diambil kepada ‘ulat’ yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram.

Mana-mana individu didapati melakukan kesalahan dengan menjalankan aktiviti berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) yang memperuntukkan hukuman denda mencecah maksimum RM50,000 atau lima tahun penjara.

Mana-mana pihak yang didapati bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ kereta sewa haram ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama. – MalaysiaGazette