Peminat tegar penggubah lagu, penyanyi dan komposer terkenal, Yuvan Shankar Raja tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan lebih tiga jam di Bukit Jalil malam tadi.

KUALA LUMPUR – Ternyata peminat tegar penggubah lagu, penyanyi dan komposer terkenal, Yuvan Shankar Raja tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan lebih tiga jam di sini malam tadi.

Malah penganjurnya, Malik Streams Sdn Bhd yang diterajui oleh Datuk Abdul Malik Dasthigeer teruja apabila lebih 10,000 peminat membanjiri di Arena Axiata Bukit Jalil seawal pukul 5 petang lagi.

Yuvan atau nama barunya setelah memeluk Islam, Abdul Haliq baru-baru ini melahirkan rasa gembira tidak terhingga dengan suasana serta semangat  peminatnya.

”Saya begitu gembira dengan kehadiran anda semua, saya seperti tidak ada perkataan untuk di ucapkan. Terima kasih Malaysia,” katanya.

Lebih menarik, bukan sahaja rakyat Malaysia sebaliknya ada juga beratus pelancong asing termasuklah dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan India hadir pada konsert yang sama.

Konsert malam tadi para peminat didendangkan dengan lagu-lagu hits popular romantik dari tahun 90-an lagi sehinggalah lagu-lagu terkini.

Selain kehadiran Yuvan, ramai lagi artis popular India juga turut menjadi jemputan antaranya Adrea Jeremiah, Vijay Yesudas, DD, Jared Ali, Rahul, Ranjith, Siddarth, Tanvishah, Priyanka, Nithyashree, Samvishal, Srinisha, Teejay dan ramai lagi.

Selain itu, artis tempatan juga diberikan ruang untuk membuat persembahan mereka yang tidak kurang hebatnya termasuklah Havoc Brothers, Yunohoo, Urumee Melam Masana Kali, Darkkey, Santhesh.

Sememangnya konsert yang bermula sekitar jam 8 malam dan berakhir sekitar 1 pagi itu berjaya menggamit para peminat yang begitu teruja dari mula dan akhir persembahan.

Rata-rata peminatnya juga telah ulang beli tiket untuk konsert malam ini di lokasi dan waktu sama dengan bertemakan Yuvan 25 – Rowdy Baby, Yuvan bersetuju untuk mengadakan konsert dua hari memandangkan sambutan luar biasa dengan jualan tiketnya laris.

Untuk makluman, sebelum ini, Yuvan yang berkunjung ke Malaysia awal bulan lepas dalam satu sidang media khas mendedahkan dirinya begitu dekat masyarakat di negara sehingga sentiasa memberinya inspirasi untuk menghasilkan lagu serta muzik hebat sejak dulu lagi.

“Saya suka hasilkan lagu-lagu ketika sedang bersedirian, untuk pengetahuan anda juga, banyak juga lagu-lagu saya di hasilkan ketika saya berada di sini terutamanya di sekitar Bukit Bintang atas kawasan KLCC. Lokasi ini beri saya inspirasi,” kata Yuvan.

Menariknya, konsert jelajah dunia ini antara yang terpenting dalam karier beliau kerana meraikan kariernya yang sudah menjangkau lebih 25 tahun dalam dunia muzik sehingga menempa nama di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast