Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat proses penyimpanan susu pada Majlis Perasmian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia (HMMC) di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@IIUM), Kuantan, Pahang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 JULAI 2022.

KUANTAN – Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC) @ IIUM Kuantan di sini memerlukan sekurang-kurangnya lima orang penderma susu pada setiap masa.

Pakar Perubatan Ibu dan Janin SASMEC @ IIUM, Prof Madya Datuk Dr. Hamizah Ismail berkata, ia penting bagi mengelakkan berlaku mahram susuan kepada bayi yang menerima susu derma terbabit.

“Dekat sini, yang kita utamakan bukan banyak yang perlu disimpan, tetapi berapa ramai penderma yang ada. Sebab kita nak pelbagaikan penderma supaya tidak terbentuk mahram susuan,” katanya.

Hamizah Ismail

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas Majlis Perasmian Pusat Susu Bonda Halimatussaadia (HMMC) di sini yang sempurnakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini.

Hamizah yang merupakan salah seorang pengasas Pusat Susu Bonda Halimatussaadia memberitahu,  pihaknya baharu sahaja menerima penderma susu ibu keenam semalam.

“Kita telah menerima lebih kurang 37.7 liter susu, yang mana susu ini telah dipastur dan telah diberikan kepada tiga orang penerima.

“Ketiga-tiga bayi dan keluarga susuan yang kita gunakan tadi, mereka tidak jatuh kepada mahram susuan. Itu motif pertama kita,” jelasnya.

Selain itu, menurut Hamizah, Pusat Susu Bonda Halimatussaadia amat mengalu-alukan ibu-ibu yang melahirkan bayi pra-matang untuk turut menderma susu mereka sekiranya berlebihan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, susu ibu yang melahirkan bayi matang berbeza berbanding susu ibu yang melahirkan bayi pramatang.

Katanya, kandungan protein, mineral dan lemaknya adalah berbeza menjadikan ia bersesuaian dengan tahap kematangan usus bayi ketika dilahirkan.

Namun begitu, pusat bank susu tersebut mengalu- alukan penderma daripada kedua-dua kategori ibu tersebut.

“Insya Allah sebaik pelancaran hari ini, kita akan mula war-warkan melalui media tertentu, di radio, televisyen. Kita akan sama-sama akan menghebahkan aktiviti kita,” katanya.- MalaysiaGazette