Abdul Razak Abdul Rahman

MELAKA – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini kecoh apabila berlaku perang mulut antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang mengenai isu telur ayam dan penempatan ternakan babi.

Kekecohan mula tercetus apabila Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) mengajukan dua soalan tambahan kepada soalan asalnya mengenai sekuriti makanan kepada Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN-Telok Mas).

Chee Leong bertanya adakah kenyataan ‘kalau telur ayam mahal, kurangkan makan telur’ merupakan satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan kerajaan negeri dan apakah pendirian kerajaan terhadap cadangan beliau untuk mengaktifkan semula kawasan Kuala Sungai Baru sebagai penternakan babi.

Menjawab soalan itu, Abdul Razak berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menjawab soalan berkenaan.

“Nak tanya telur, babi, sawi tiada masalah tapi saya nak tanya balik Kota Laksamana…,” katanya yang terhenti di situ apabila Speaker DUN, Datuk Ibrahim Durum mencelah dengan mengarahkan beliau hanya menjawab bukan bertanya soalan.

Ketika ini, Chee Leong berdiri dan memberitahu beliau bersedia menjawab soalan daripada Abdul Razak namun diarahkan duduk oleh speaker yang turut mengulangi dua soalan tambahan terbabit untuk dijawab.

Menjawab soalan berkenaan, Abdul Razak menjelaskan, isu telur berkenaan bukanlah kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan percaya ia adalah pendapat peribadi.

“Itu (isu telur) pada pandangan saya adalah pendapat peribadi, kerana apa juga keputusan kerajaan negeri, sudah pastilah ia diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum kita keluarkan kenyataan.

“Dalam MMKN kita tiada bincang kalau harga sesuatu barang itu naik kurangkan makan barang itu,” katanya pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, DUN Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini tular di laman sosial mengenai kenyataan dikeluarkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar yang menyarankan pengguna mengurangkan pengambilan telur berikutan kenaikan harga sumber protein itu.

Menjawab soalan kedua mengenai isu babi, Abdul Razak berkata, kerajaan negeri telah menetapkan kawasan ternakan babi di kawasan Paya Mengkuang, Masjid Tanah dan tidak bercadang memindahkan ke kawasan lain.

Suasana dewan digamatkan lagi apabila Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) dan Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mencadangkan ternakan babi dipindahkan ke kawasan Kota Laksamana, namun dibalas Chee Leong mengatakan kawasannya tidak mempunyai tempat untuk ternakan itu.

Tindakan itu memaksa speaker segera menghentikan pertelagahan dan meneruskan persidangan dengan soalan lisan seterusnya. – MalaysiaGazette