25 pelajar SRAITK yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Catur MSSD Gombak 2022

KUALA LUMPUR – Sekolah Rendah Agama Islam Taman Keramat (SRAITK) mengungguli catur Majlis Sukan-Sukan Daerah (MSSD) daerah Gombak peringkat Negeri Selangor untuk tahun keempat berturut-turut.

Pengurus pasukan, Ainul Fikri Mohd Kamil berkata, pencapaian membanggakan itu termasuk Johan Kategori Lelaki dan Perempuan serta Johan Berkumpulan Lelaki dan Perempuan itu adalah hasil pengorbanan pemain dan juga ibu bapa yang bertungkus lumus sepanjang latihan dan kejohanan baru-baru ini yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Klang Gate pada 14 dan 15 Julai lepas.

“Secara keseluruhan, kesemua anak-anak menunjukkan prestasi cemerlang pada MSSD edisi kali ini. Tahniah dan syabas semua.

“Terima kasih juga diucapkan kepada semua ibu bapa yang sanggup berkorban cuti, masa dan kewangan demi bersama anak-anak dalam mengharungi perjalanan sepanjang kenangan MSSD kali ini. Kejayaan anak-anak sebenarnya terhasil daripada pengorbanan semua ibubapa yang amat komited,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, sekolah tersebut menjuarai Kategori Lelaki dan Perempuan yang masing-masing diraih Ahmad Farhan Mohammad Fadzli Shah dan Sarah Nashwa Syahrul Anuar.

Ainul Fikri berkata, fokus kini adalah bagi mendapatkan lebih banyak latihan sebelum bertanding di peringkat negeri yang dijadual diadakan tidak lama lagi.

Lebih membanggakan, seramai enam orang pemain dari sekolah tersebut telah berjaya melayakkan diri ke peringkat negeri Selangor bagi mewakili daerah Gombak yang dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 12 Ogos 2022 di SMK Dato’ Abu Bakar Baginda, Bangi.

Kejayaan ini turut dikongsi bersama dengan alumni di mana 6 orang bekas pelajar SRAITK juga berjaya ke peringkat seterusnya. – MalaysiaGazette