Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersorak pada pembukaan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2022.

PADA 15 Mei lalu, di dalam satu Persidangan Agung Khas UMNO yang bersejarah, seramai 2,586 perwakilan dari 192 bahagian UMNO dari seluruh negara telah meluluskan secara sebulat suara pindaan kepada Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

Fasal 10.16 asal adalah berbunyi:
“Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.”

Setelah dipinda, Fasal 10.16 asal ini dijadikan Fasal 10.16.1 yang berbunyi:
“Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan atau tidak lebih daripada 6 bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat) yang mana terkemudian.”

Turut diwujudkan ialah Fasal 10.16.2 yang berbunyi:
“Tarikh Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat) yang dinyatakan dalam Fasal 10.16.1 ini bermaksud tarikh mengundi bagi PRU Parlimen (Dewan Rakyat) pada tarikh semasa yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 atau mana-mana undang-undang yang terpakai bagi tujuan yang sama.”

Usul pindaan ini dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO dan disokong oleh Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seperti lazimnya, pindaan ini segera dikemukakan pada 17 Mei oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selari dengan peruntukan Seksyen 11(1)(b) Akta Pertubuhan yang berbunyi:
“Tiadalah sesuatu pertubuhan berdaftar boleh meminda aturan-aturannya dengan tiada terlebih dahulu mendapat kebenaran Pendaftar.”

Kelulusan secara sebulat suara pindaan ini, dan sokongannya oleh Ismail Sabri, pastinya akan meletakkan beliau di dalam kedudukan yang amat sukar dari sudut parti sekiranya ia tidak diluluskan oleh ROS di atas apa-apa sebab sekalipun.

Ada pihak-pihak tertentu malah menuduh Ismail Sabri sebagai bersandiwara tatkala menjadi penyokong kepada usul pindaan ini sedangkan beliau sebenarnya dikatakan mahu pemilihan UMNO dibuat sebelum PRU 15 dilangsungkan.

Teori yang dikemukakan oleh pihak-pihak ini ialah jika pemilihan UMNO dibuat sebelum PRU 15 dilangsungkan maka Ismail Sabri dengan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri pasti akan menang mudah sebagai Presiden UMNO.

Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang menjawat jawatan Menteri Kanan dan Menteri yang dikira mempunyai peluang cerah untuk menang di dalam pemilihan UMNO berbanding mereka yang berada di luar kerajaan.

Secara logiknya, jika Ismail Sabri mahu menguatkan kedudukan di dalam UMNO maka beliau akan berusaha memastikan pindaan ini ditolak oleh RoS atau diterima oleh RoS tetapi hanya dikuatkuasakan selepas pemilihan UMNO seterusnya.

Ini kerana menjadi Presiden UMNO sebelum menempuh PRU-15 akan memberi kelebihan kepada Ismail Sabri menggunakan kuasa memberi watikah calon untuk memilih para penyokong beliau sebagai calon UMNO di dalam PRU-15.

Pada masa yang sama, kuasa ini juga boleh digunakan bagi memastikan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang difikirkan menjadi saingan beliau atau yang bersifat kritikal kepada beliau untuk tidak dipilih sebagai calon UMNO di dalam PRU-15.

Sebaliknya, jika pindaan ini diterima oleh RoS maka status quo barisan kepimpinan UMNO sekarang akan kekal di mana para penyokong Ismail Sabri, malah mungkin Ismail Sabri sendiri, boleh diketepikan sebagai calon UMNO di dalam PRU-15.

Lumrahnya, budaya politik di dalam UMNO, mahupun parti-parti politik lain juga, ialah kuasa akan berpusat di sekitar mereka yang menang di dalam PRU khasnya mereka yang selepas menang di dalam PRU dilantik menganggotai Kabinet.

Oleh itu, membenarkan pemilihan UMNO dibuat selepas PRU-15 berlangsung sudah semestinyalah bukan pilihan yang baik jika Ismail Sabri adalah ahli politik rakus yang bercita-cita untuk mengumpulkan kuasa pada diri beliau sendiri.

Turut berhadapan tuduhan yang sama adalah Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang didakwa akan menggunakan kuasa beliau bagi mengarahkan RoS menolak pindaan ini.

Rasional yang digunakan adalah memaksa UMNO mengadakan pemilihan sebelum PRU-15 berlangsung pastinya akan memberikan kelebihan kepada BERSATU, yang dianggap sebagai saingan utama UMNO, untuk berhadapan dengan PRU-15.

Ini kerana pemilihan UMNO, yang dikatakan akan menjadi amat sengit dan kini dijadikan lebih terbuka dan demokratik dengan memberi kuasa memilih kepada ahli-ahli akar umbi, dijangka akan menjadikan UMNO amat lemah dan berpecah-belah.

Begitupun, di sebalik semua sangkaan ini, dan di sebalik kebimbangan pemimpin-pemimpin UMNO untuk mengadakan pemilihan dalam waktu yang terdekat atau untuk berpindah kepada apa-apa pelan lain, apa yang di sebaliknya pula berlaku.

Pada lewat petang Jumaat, 29 Julai, lalu, Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi bin Saad, telah, secara senyap-senyap tanpa apa-apa publisiti, menyerahkan kepada pegawai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, surat kelulusan ke atas pindaan ini .

Kelulusan yang diberikan adalah dengan sedikit pengubahsuaian di mana Fasal 10.16.1 yang diluluskan oleh RoS adalah berbunyi:
“Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak lebih daripada 6 bulan selepas diadakan sesuatu PRU Parlimen (Dewan Rakyat) tertakluk kepada 1 pemilihan perlu diadakan dalam 1 penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat).”

Apa yang dilakukan oleh RoS adalah membenarkan pemilihan ditangguhkan kepada 6 bulan selepas PRU berlangsung tanpa mengambil kira apa yang telah berlaku sebelumnya sehubungan dengan penangguhan pemilihan selama 18 bulan terdahulu.

Inilah juga sebenarnya pindaan yang dibuat ke atas Perlembagaan MCA yang diluluskan oleh RoS sebelum ini, iaitu kebenaran menangguhkan pemilihan 6 bulan selepas PRU berlangsung, tanpa adanya pilihan ke atas penangguhan pemilihan selama 18 bulan.

Memasukkan syarat bahawa 1 pemilihan perlu diadakan dalam 1 penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat) juga adalah langkah bijak RoS bagi memastikan kelonggaran ini tidak disalahgunakan untuk mengurangkan amalan demokrasi dalam UMNO.

Ini seperti yang dinyatakan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, pada 20 Mei lalu bahawa pindaan asal yang mempunyai aspek pilihan akan membolehkan pemegang jawatan memanjangkan jawatan 3 tahun menjadi 8 tahun 6 bulan.

Sepertimana disebut oleh Ahmad Maslan, terima kasih perlu diucapkan kepada Mohd Nawardi yang sentiasa bersikap tenang dan tidak melatah di dalam melaksanakan tugasan beliau, begitu kepada Hamzah di atas keprofesionalan beliau di dalam menangani perkara ini.

Eloklah juga jika mereka yang menuduh Ismail Sabri mahu mensabotaj parti dapat bertaubat dan memohon ampun dengan Allah kerana memfitnah kerana terbukti kini Ismail Sabri “orang parti” yang fikirkan kepentingan parti dan tidak fikirkan kepentingan sendiri.

Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pegawai Khas Perdana Menteri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bila masa plak Menteri UMNO lebih mudah menang berbanding yg tak ada jawatan dalam kerajaan…akar umbi UMNO semua tahu kebanyakan menteri2 ni masa UMNO jatuh, mereka ni yg lari dulu..terutama Hishamudin & KJ..bila UMNO kuat balik mrk ni yg kaut semua jawatan…yg bertungkus lumus memenangkan UMNO dan BN dlm PRN dan PRK ialan mereka yg tidak berjawatan dlm kerajaa. Itu faktanya! Kalau yer pun dah jd pegawai khas Mail Sabri, agak2 lah nak mengampu bro!

Comments are closed.