JOHOR BAHRU – Pergerakan Pemuda UMNO Johor mempunyai senarai calon yang berpotensi untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan dan senarai tersebut akan diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dinilai.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, perkara itu harus dibincangkan bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
“Tarikh untuk serahan senarai nama calon juga sudah kita tetapkan namun perkara ini merupakan rahsia parti bila akan dilakukan.
“Siapa calon dan kerusi mana itu masih lagi dalam penilaian, sudah tentu kami letak nama terbaik, kepimpinan peringkat Pusat juga sudah meminta saya menamakan calon-calon dan nama-namanya juga sudah ada dalam fikiran saya.
“Ya (tarikh serahan dan calon-calonnya) sudah ada,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran FIJO 2022, di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Hasni yang merupakan bekas Menteri Besar Johor membayangkan BN Johor akan meletakkan kira-kira 70 peratus calon muka baharu dalam PRU15. – MalaysiaGazette