Dr. Chong Fat Full

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full dilantik mengetuai sayap Bersekutu Bersatu.

Pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta.

Chong menggantikan Edmund Santhara Kumar yang melepaskan jawatan itu bulan lalu, kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

”Bagi terus merancakkan penglibatan ahli-ahli Bersekutu dalam gerak kerja jentera parti, mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk melantik Dr. Chong Fat Full sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU yang baharu berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan di sini.

Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat difahamkan telah menghantar surat peletakan jawatannya pada bulan lalu.

Pelantikan baharu itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Dalam kenyataan itu, Hamzah turut memberitahu, parti tersebut telah melantik Nur Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) bagi menyuntik kekuatan baharu jentera parti dalam kalangan golongan muda.

Pelantikan-pelantikan ini adalah sebahagian daripada ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi pilihan raya parti di peringkat pusat dan ianya juga mencerminkan kesiapsiagaan BERSATU menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 pada bila-bila masa, katanya. – MalaysiaGazette