Sunther Subramaniam.

KUALA LUMPUR – Berita kononnya lebih 600 ahli Parti Warisan Perak daripada lapan bahagian di negeri itu mengisytiharkan keluar parti Jumaat selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan adalah tidak benar sama sekali.

Bercakap kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi, Pengerusi Warisan Perak, Datuk Sunther Subramaniam mendedahkan, jumlah sebenar yang bertindak keluar parti itu pada sidang media tempoh kurang dari 10 orang.

Jelasnya, laporan yang mendakwa hampir atau lebih 600 ahli parti Warisan di negeri itu sebenarnya tidak benar dan hanya diperbesarkan untuk mencemarkan nama baik partinya.

“Tidak benar, malah parti Warisan yang sudah bertapak di Perak sejak Disember 2021 dengan 12 Penyelaras mempunyai hampir 6,000 ahli setakat ini. Malah keahlian kita juga bertambah dari hari ke hari terutamanya yang sehaluan dengan prinsip perjuangan.

“Yang keluar ini juga tidak mempunyai apa-apa jawatan atau lantikan. Mungkin ada rasa tidak berpuas hati, itu antara punca mengapa mereka keluar. Tindakan mereka ini tidak beri impak kepada kita sebenarnya dan saya ingin ucapkan yang terbaik buat mereka.

“Warisan di Perak cuba jadi inklusif, buat yang terbaik tetapi ada keputusan yang tidak dipersetujui oleh kumpulan. Kita telah cuba yang terbaik. Mereka tidak mahu bekerjasama dan lebih suka bersendirian sesama mereka sahaja. 

“Mereka mahu kita tanding semua kerusi di Perak manakala keputusan tertinggi pula, Warisan Perak hanya bertanding lima kerusi yang kita anggap boleh menang. Kita hendak tumpukan perhatian pada kerusi-kerusi itu. Mungkin itu juga puncanya,” katanya sebentar tadi.

Kelmarin di laporkan media seramai 600 ahli Warisan daripada lapan bahagian di negeri ini mengisytiharkan keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.

Kesemua mereka terdiri daripada ahli Warisan Bahagian Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Kuala Kangsar, Sungai Siput Beruas, Batu Gajah dan Teluk Intan.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Warisan Perak, Mohd Sani Abbas kemudian membuat kenyataan kumpulan yang keluar itu hanyalah beberapa ahli biasa yang sebelum ini aktif menawarkan diri membantu parti itu mengembangkan sayap di Perak namun tidak terpilih untuk memegang jawatan dalam negeri atau bahagian.

Kata Sunther lagi, pihaknya juga tidak mampu memenuhi apa-apa permintaan kumpulan tersebut malah beliau sendiri telah menyemak dengan ibu pejabat jumlah sebenar yang telah keluar parti itu dari negeri tersebut.

“Tidak ada impak langsung. Warisan Perak akan terus mara ke hadapan tanpa sebarang isu. Seandainya yang keluar ini tidak selari dengan agenda kita, mungkin ada alternatif lain buat mereka di luar sana,” ujarnya.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sebelum ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafee Apdal pernah memaklumkan parti itu sedang mengenal pasti kerusi yang berpotensi di sekurang-kurangnya enam negeri di Semenanjung, termasuk Perak untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, Warisan juga berhasrat bertanding di Johor, Selangor, Kedah, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan dan akan melihat kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersesuaian. -MalaysiaGazette

Tindakan 600 ahli keluar parti cubaan cemar imej Warisan