KUANTAN – Tiada keperluan untuk gabungan parti politik ‘rapuh’ bergabung sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) setelah Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kerjasama atau gabungan itu sepatutnya dizahirkan selepas PRU-15 setelah mandat diberikan kepada rakyat dan terserah kepada parti dominan untuk menentukan gabungan.
“Saya berpandangan, pada PRU-15 akan datang, parti-parti politik atau gabungan utama sedia ada seperti BN, PH, PN, Pas, PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malah UMNO, MCA, MIC pun bolehlah bertanding secara bersendirian atas tiket parti masing-masing.
“Dengan adanya RUU Anti Lompat parti, setiap parti politik tidak perlu lagi bimbang episod ‘lompat si katak lompat’ berulang seperti berlaku selepas PRU-14 lalu. Sehingga akhir Mac 2022, seramai 39 ahli Parlimen bertukar parti selepas PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sharkar berkata, pengalaman pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali selepas PRU-14 menunjukkan betapa serius isu lompat parti tersebut.
“Selepas ini, tidak akan berlaku lagi tawar menawar yang menyebabkan berlaku ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar parti dan masuk parti yang lain.
“RUU Anti Lompat Parti akan memberi keyakinan khususnya kepada pengundi di mana mereka bertambah yakin dengan kewujudan sesebuah kerajaan yang akan dilindungi dari bencana ahli Parlimen bertukar parti,” katanya.
Jelas ADUN Lanchang itu, pengundi akan menjadi lebih yakin dengan pilihan yang dibuat kerana mengetahui ahli Parlimen, ADUN yang mereka pilih dan seterusnya memenangi kerusi yang ditandingi tidak akan melompat parti.
Justeru, katanya dengan adanya RUU Anti Lompat Parti, inilah masanya untuk setiap parti-parti politik menguji kekuatan masing-masing dan selepas itu baharu memikirkan soal gabungan bagi membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil selepas PRU-15.
“Gabungan yang ‘rapuh’ tidak akan menjamin kestabilan politik dan episod seperti berlaku selepas PRU-14 dibimbangi berulang. Adalah lebih baik gabungan politik dibentuk selepas pilihan raya umum setelah rakyat membuat keputusan,” katanya.
Langkah itu, ujarnya, telah diamalkan di negara-negara maju dan ia terbukti berkesan dalam memastikan kestabilan politik berpanjangan dalam sesebuah kerajaan memerintah. – MalaysiaGazette
















